Tuntutan insurans kebakaran hutan California cecah AS$9 bilion


Kebakaran hutan di California baru-baru ini merupakan yang paling dahsyat dalam sejarah negeri itu, meragut sekurang-kurangnya 89 nyawa dan memusnahkan 19,000 rumah serta perniagaan. – Gambar EPA, 13 Disember, 2018.

TUNTUTAN insurans akibat kebakaran hutan California yang meragut sekurang-kurangnya 89 nyawa dan memusnahkan 19,000 rumah serta perniagaan baru-baru ini mencecah hampir AS$9 bilion (RM38 bilion), kata pesuruhjaya insurans negeri itu semalam.

“Kebakaran hutan meragut nyawa pada 2018 itu juga merupakan bencana kebakaran paling dahsyat dan paling mahal dalam sejarah California,” kata Pesuruhjaya Insurans California Dave Jones.

“Kematian penuh tragedi… dan lebih AS$9 bilion kerugian yang diinsuranskan setakat ini adalah angka yang mengejutkan - di sebalik angka kerugian yang diinsuranskan itu, beribu orang mengalami trauma akibat kerugian yang tidak anggarkan.”

Angka yang dikeluarkan itu katanya berkaitan dengan tiga kebakaran hutan - kebakaran “Camp Fire”, “Woolsey Fire” dan “Hill Fire”.

Selasa lalu, pihak berkuasa negeri dan persekutuan berkata sekurang-kurangnya AS$3 bilion diperlukan untuk membersihkan serpihan kebakaran.

Kebanyakan pembayaran insurans - sekitar AS$7 bilion - melibatkan kebakaran “Camp Fire” di utara California, yang membakar bandar Paradise dan meragut 86 nyawa. Ia merupakan kebakaran paling dahsyat dalam sejarah California.

Tiga lagi mangsa meninggal dunia dalam kebakaran “Woolsey Fire”, yang memusnahkan ratusan rumah dan perniagaan di selatan California termasuk beberapa rumah selebriti Hollywood di Malibu.

Kebakaran ketiga, “Hill Fire”, juga di selatan California, membakar ribuan hektar kawasan di  Santa Rosa Valley.

Tuntutan insurans bagi semua kebakaran itu dijangka melebihi AS$2 bilion. – AFP, 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen