Menteri serah kepada pakar selesaikan isu ILS dengan Singapura


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pengangkutan Anthony Loke enggan memanjangkan isu ILS melibatkan ruang udara Malaysia dan Singapura. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Disember, 2018.

MENTERI Pengangkutan Anthony Loke enggan memanjangkan kemelut antara Malaysia dan Singapura mengenai Sistem Instrumen Pendaratan (ILS), berkata kedua-dua negara akan duduk berbincang pada pertengahan Januari depan untuk mencari titik penyelesaian bersama.

Bercakap kepada wartawan pagi tadi, Loke berkata beliau tidak akan menyertai perbincangan yang berlaku sekarang dan akan menyerahkan kepada pakar teknikal untuk menangani kemelut yang wujud.

“Sudahlah tentang ILS. Kedua-dua pihak akan bertemu dan berbincang pada pertengahan Januari. Bagi pihak kita, kami akan mengeluarkan video untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu ini.”

“Saya serahkan kepada pakar teknikal kedua-dua negara itu menjelaskannya,” kata Loke pada Happy Guests, Caring Hosts Service Culture Transformation Programme di klia2 pagi tadi.

Sebelum ini, Malaysia sudah menghantar notis protes kepada Singapura berkaitan rancangan republik itu untuk menggunakan ruang udara di selatan Johor bagi operasi penerbangan di Lapangan Terbang Seletar.

Menurut laporan, Loke berkata Singapura tanpa persetujuan Malaysia pada 1 Disember lalu mengeluarkan prosedur baharu ILS untuk Seletar yang akan dilaksanakan bermula 3 Januari.

Ahli Parlimen Seremban itu dipetik berkata yang prosedur baharu ILS- yang menyediakan panduan tepat kepada pesawat yang berlepas dan mendarat di landasan- dalam Penerbitan Maklumat Aeronautika (AIP) akan menjejaskan pembangunan di Pasir Gudang.

Lapangan Terbang Seletar di Singapura hanya terletak 2 km dari sempadan Johor.

Loke juga berkata yang kerajaan akan sentiasa komited dalam mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara serta memberi tumpuan penuh kepada perkara berkaitan pengurusan ruang udara.

Awal Disember lalu, Loke di Dewan Rakyat mengesahkan yang Malaysia sudah memaklumkan Singapura pada 29 November untuk mengambil balik ruang udara berperingkat, yang pertama akan bermula akhir 2019 dan peringkat seterusnya pada 2023. – 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen