Senat AS mengundi untuk batal sokong tentera Arab Saudi di Yaman


Senat AS akan mengundi untuk meluluskan resolusi menamatkan sokongan negara itu kepada pakatan tentera Arab Saudi dalam perang Yaman. – Gambar EPA, 13 Disember, 2018.

SENAT AS menghantar amaran terbaru kepada Presiden Donald Trump dan Arab Saudi semalam dengan memberi lampu hijau kepada proses undi yang boleh menamatkan sokongan ketenteraan AS kepada perang Ridayh di Yaman.

Berang dengan kehilangan nyawa akibat perang tersebut serta pembunuhan wartawan Arab berpangkalan di AS Jamal Khashoffi di konsul Arab Saudi di Istanbul, menyebabkan tentangan kuat di Kongres tentang peranan ketenteraan AS yang menyokong pakatan tentera Saudi memperkukuh tentera kerajaan Yaman menentang pemberontak Huthi.

Kemarahan yang memuncak mungkin mencetuskan tindakan berbeza dalam tempoh beberapa hari lagi terhadap Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman yang didakwa terlibat secara langsung dalam pembunuhan wartawan itu- selari dengan kesimpulan dibuat CIA dibentangkan Pengarahnya Gina Haspel kepada wakil rakyat di Capitol Hill pada Rabu.

Ini akan mendatangkan cabaran secara langsung kepada Trump yang cuba mewujudkan keraguan penglibatan putera itu dalam pembunuhan berkenaan dan menegaskan kepentingan ikatan perdagangan dan ketenteraan AS dengan negara kaya minyak itu.

Senat mengundi untuk memajukan resolusi yang boleh menamatkan sokongan AS kepada campur tangan diketuai Saudi Yaman dengan 60 undi menyokong berbanding 39 menentang, dengan 11 wakil rakyat Republikan menyertai Demokrat untuk menyokong usul tersebut.

Pengundian akhir Senat dijangka berlaku Rabu minggu depan, walaupun sekiranya usul itu diluluskan oleh dewan tinggi, ia bakal berdepan cabaran di dewan rendah yang masih dipegang Republikan sehingga 3 Januari depan.

Dan walaupun Kongres meluluskan usul itu, Trump masih mampu menggunakan kuasa vetonya. Bagaimanapun, ia kekal jadi simbol perpecahan dalam AS untuk menyokong putera mahkota itu.

Resolusi itu dirangka oleh Bob Corker, seorang wakil rakyat Republikan yang lantang mengkritik presiden dijangka menerima sokongan meluas kedua-dua pihak.

Pada masa sama, Setiausaha Negara Mike Pompeo dan Setiausaha Pertahanan Jim Mattis pula akan mempertahankan pakatan ketenteraan dengan Riyadh pada taklimat tertutup kepada Kongres esok. – AFP, 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen