Putrajaya perlu rombak sistem TVET untuk pastikan kejayaannya


Sheridan Mahavera

Pengarah Urusan Khazanah Shahril Ridza Ridzuan berucap di majlis pelancaran kajian mengenai pekerjaan belia di Kuala Lumpur semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Disember, 2018.

KERAJAAN Pakatan Harapan mahu menjadikan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) setanding dengan aliran akademik lain serta menjadi pilihan pertama untuk ibu bapa dan pelajar.

Bagi mencapai hasrat tersebut, ia perlu merombak keseluruhan sistem TVET sedia ada yang mempunyai hampir 1,000 penyedia pendidikan awam dan swasta, kata Khazanah Research Institute.

Dalam kajian terbaru dilakukan badan pemikir itu, didapati terdapat banyak perhatian dan pelaburann dilakukan ke atas TVET oleh kerajaan terdahulu, tetapi ia masih gagal menjadi laluan akademik yang popular berbanding aliran konvensional akademik lain.

Buat masa sekarang, hanya 13% pelajar sekolah menengah belajar di sekolah teknikal dan vokasional, dan hanya 9% TVET pelajar pengajian tinggi di politeknik, kata KRI dalam kajian pekerjaan belia itu.

“Tetapi hala tuju pendidikan menekankan TVET sebagai keperluan yang penting untuk pasaran buruh dan ekonomi,” kata KRI dalam kajian bertajuk Peralihan Persekolahan ke Pasaran Pekerjaan (SWTS).

“Kajian juga mendapati yang pencari pekerjaan dan pekerja muda menganggap TVET sebagai kelayakan paling berguna untuk mendapatkan pekerjaan.”

Bagi merombak sistem TVET, kerajaan perlu meletakkan banyak institusi berbeza di bawah satu badan kerajaan bagi memastikan koordinasi strategik berlaku antara mereka.

“Ada keperluan untuk mengambil pendekatan berpandu permintaan dengan bekerja rapat dengan industri untuk mengetahui kemahiran yang diperlukan pasaran kerja,” kata kajian itu yang juga menambah yang kerajaan perlu menyeleras standard dan kelayakan.

Kajian KRI juga mencadangkan supaya kerajaan menggunapakai model TVET Jerman yang dikenali sebagai sistem dwi latihan apabila belia belajar dan mengamalkan kemahiran mereka dalam persekitaran pekerjaan sebenar.

Satu lagi dapatan penting kajian adalah walaupun negara terus memberi penekanan kepada STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik), kurang 50% pelajar berada dalam aliran tersebut.

Kerajaan menetapkan matlamat nisbah 60:40 untuk pelajar aliran sains berbanding sastera sejak 1970-an.

“Bagaimanapun, kajian SWTS mendapati hanya satu pertiga pelajar menengah atas mengambil mata pelajaran sains, 44% matematik tambahan, dan hanya 32% pelajar pengajian tinggi mengambil kursus STEM.”

Penyelidik bersetuju yang minat kepad STEM boleh disemai sejak kecil, kata kajian lagi.

Dalam usaha mencetuskan minat pelajar kepada STEM, sekolah perlu mewujudkan “ruang pencipta” di sekolah rendah dan tadika di mana pelajar boleh melakukan eksperimen sendiri bagi mencetuskan minat mereka dalam mata pelajaran tersebut.

“Ruang pencipta adalah ruang kreatif di mana pelajar boleh meneroka, berfikir, menemui dan mencipta. Dalam ruang ini, pelajar belajar bagaimana untuk bersama-sama berfikir dengan masalah yang diberikan dan mencuba sehingga mereka menemui penyelesaian.

“Ruang pencipta menyokong pengajaran dan penerokaan sendiri. Ia sering dikaitkan dengan pendidikan STEM.” – 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen