Dasar pekerja asing murah perlu dihapus untuk tingkatkan pendapatan belia


Sheridan Mahavera

Rakyat Malaysia sebenarnya tiada masalah bekerja dalam sektor 3D apabila ramai bersedia ke Singapura untuk bekerja dalam sektor tersebut dengan syarat gaji ditawarkan berpatutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2018.

DARIPADA 200,000 rakyat Malaysia yang berulang alik ke Singapura setiap hari, sejumlah 40% daripada mereka bekerja dalam sektor separa dan tidak mahir seperti buruh kasar, operator jentera dan pencuci.

Itu adalah salah satu daripada dapatan kajian menyelidik pekerjaan belia dilakukan badan pemikir berkaitan kerajaan, Khazanah Research Institute (KRI).

KRI berkata bertentangan dengan kepercayaan umum, belia Malaysia bersedia melakukan kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) sekiranya gaji ditawarkan berpatutan.

Sebab mengapa belia Malaysia tidak menceburi pekerjaan ini di negara sendiri adalah kerana gaji yang ditawarkan rendah. Majikan Malaysia sudahpun mempunyai bekalan pekerja asing yang bersedia menerima gaji rendah ini, dedah laporan kajian Peralihan Persekolahan ke Pasaran Pekerjaan (SWTS) dikeluarkan KRI semalam.

Selagi mana Malaysia mengekalkan dasar buruh asing murah ini, negara akan terus bergelut menyediakan pekerjaan dengan gaji berpatutan kepada belia, kata KRI.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan terus berdepan kesukaran menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi -matlamat yang dicetuskan pentadbiran Barisan Nasional- sekiranya dasar buruh asing murah ini terus wujud.

Kerajaan juga perlu mengubah undang-undang buruh untuk menawarkan jaringan dan perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh kepada pekerja sambilan dalam sektor tidak formal, “gig-ekonomi” kerana pekerjaan jenis ini sedang berkembang pesat jauh meninggalkan perkembangan bentuk pekerjaan tradisional, kata KRI lagi.

“Gig-ekonomi” yang melibatkan pekerja sambilan, pekerja sendiri atau mereka yang berkerja dengan keluarga sedang menjadi sumber utama pekerjaan sekarang, lapor badan pemikir itu.

Tetapi, pekerjaan jenis ini seringkali tidak dilindungi oleh undang-undang buruh, mempunyai pendapatan tidak tetap serta kekurangan insurans dan simpanan persaraan, katanya lagi.

Pekerja asing yang murah menyebabkan majikan tidak mengambil inisiatif untuk berinovasi yang seterusnya membantutkan peningkatan gaji, kata kajian Khazanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2018.

Pada masa sama, akses luas kepada tenaga buruh asing murah tidak menggalakkan syarikat Malaysia dalam sektor rasmi seperti pembuatan dan perkhidmatan daripada menggunakan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan membayar gaji lebih tinggi, kata Felo Kanan Pelawat KRI Dr Lim Lin Lean.

Syarikat terutama sekali yang terlibat dalam pengeluaran untuk eksport seringkali menggunakan alasan bagi membolehkan Malaysia terus bersaing dengan negara jiran, industri perlu terus mengekalkan kos pengeluaran yang rendah dan “kos rendah” ini termasuklah gaji dan faedah pekerja.

Pendekatan ini, kata Lim menyebabkan Malaysia terus terperangkap dalam perangkap negara pendapatan pertengahan.

“Adakah satu-satunya cara untuk terus berdaya saing adalah denga nada tenaga buruh murah?” kata Lim selepas pelancaran kajian itu di Kuala Lumpur semalam.

“Adakah kita mahu terus berada dalam perlumbaan menuju ke tahap rendah? Ia sudah jadi isu lama yang salah satu sebab mengapa kita tidak boleh jadi negara berpendapatan tinggi adalah kerana kita terus menggunakan tenaga buruh murah dan kurangnya insentif untuk berinovasi.

“Kajian lain menunjukkan yang penggunaan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dalam kalangan syarikat Malaysia terhalang disebabkan tenaga buruh murah.

“Semakan semula ke atas dasar tenaga buruh murah adalah mustahak bagi membolehkan negara menangani isu pekerja asing dan pada masa meningkatkan pekerjaan dan pendapatan untuk belia Malaysia serta mengurangkan tarikan kerja 3D di Singapura.

“Pada tahap gaji yang lebih menarik, rakyat Malaysia tidak akan menolak melakukan kerja 3D,” kata kajian itu.

Kajian juga mendedahkan yang terdapat peningkatan jumlah belia dalam sektor tidak rasmi, pekerjaan sambilan dan mereka yang bekerja sendiri dalam ekonomi digital, trend yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan, kata KRI lagi.

Jumlah pekerja dalam “pekerjaan bukan standard” ini adalah 45% pekerja belia antara usia 15 hingga 19 tahun, 32% berusia antara 20 hingga 24 tahun dan 20% berusia 25 hingga 29 tahun.

Bagi melindungi mereka, skim persaraan dan insuran perlu dihubungkan terus dengan pekerja dan undang-undang buruh juga perlu dipinda bagi meliputi kerja tidak rasmi, kata kajian lagi. – 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen