PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui wujud gerakan dari dalam parti itu untuk memujuk ahli Parlimen Umno yang lain supaya keluar parti.
Tanpa menamakan sesiapa, ketua pembangkang itu berkata gerakan tersebut dibuat oleh beberapa individu.
Bagaimanapun kata Zahid beliau tidak dapat memastikan sekiranya terdapat ahli-ahli Parlimen Umno lain yang akan keluar parti melalui gerakan tersebut sehinggalah mereka bertindak sedemikian.
“Saya tidak dapat buat sebarang telahan mengenai perkara itu namun kita sedaya mungkin terus mempertahankan kedudukan ahli-ahli Parlimen sedia ada dan sebarang kemungkinan yang akan berlaku kita akan hadapi bersama-sama.
“Daripada apa yang kami perhatikan kita dapati bahawa ada tindakan-tindakan yang dilakukan oleh beberapa individu.
“Namun kita tidak dapat menelah daripada awal apakah tindakan-tindakan terakhir yang akan dilakukan oleh mereka,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight sebelum ini bekas menteri kanan Umno sedang berusaha memujuk ahli-ahli Parlimen dari parti itu keluar daripada parti menjadi ahli Parlimen bebas sebelum menyertai Bersatu.
Menurut sumber, bekas menteri itu mempunyai beberapa orang penggerak dari kalangan ahli Parlimen juga untuk memujuk ahli-ahli Parlimen Umno yang lain.
Sumber yang pernah dipujuk untuk keluar parti itu berkata tawaran untuk menyertai Bersatu untuk menguatkan parti yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad itu.
Mengulas lanjut perkara itu, Zahid menjelas dalam politik perlbagai kemungkinan boleh berlaku dan ianya tidak statik.
“Kita harus sedar, oleh kerana politik bukan sesuatu yang statik atau beku, sebarang kemungkinan akan berlaku.
“Pada waktu yang sama kita harus melihat bahawa jika perkembangan berlaku di peringkat nasional nanti, tentunya situasi politik akan berubah semula,” katanya. – 12 Disember, 2018
Komen