KONGRES Filipina telah meluluskan permohonan Presiden Rodrigo Duterte untuk melanjutkan undang-undang tentera dan menggantung keistimewaan writ habeas corpus di Mindanao untuk tempoh setahun iaitu sehingga 31 Disember 2019, dalam usaha mengekang “pemberontakan berterusan” di wilayah selatan Filipina.
Selepas berhujah selama hampir empat jam dalam sesi khas bersama pada Rabu, anggota parlimen dari Senat mahupun Dewan Perwakilan telah mengundi 235-28-1 memihak kepada pelanjutan tempoh setahun lagi pemerintahan tentera di Mindanao.
Menurut agensi berita China Xinhua, ini merupakan pelanjutan kali ketiga yang diberikan kepada Duterte sejak beliau mengenakan undang-undang tentera pada Mei 2017 selepas militan pemberontak mengepung Bandar Marawi.
Di bawah undang-undang tentera dan penggantungan keistimewaan writ habeas corpus di Mindanao, pasukan keselamatan dibenarkan membuat tangkapan, menahan atau menggeledah tanpa waran.
Ini bermakna orang yang telah melakukan jenayah pemberontakan atau disyaki berbuat demikian boleh ditahan tanpa waran tangkap, dan objek yang digunakan dalam melakukan jenayah itu boleh dirampas tanpa waran geledah.
Dengan pelanjutan undang-undang tentera itu, jurucakap presiden Filipina iaitu Salvador Panelo berkata kerajaan Duterte “berharap untuk mencapai kemajuan besar dalam menangani pemberontakan yang berterusan di Mindanao, selain mempromosi keadaan keselamatan dan keamanan secara keseluruhan di pulau itu.”
Dalam sepucuk surat kepada Kongres minggu lepas, Duterte meminta anggota parlimen membenarkan undang-undang tentera diteruskan di Mindanao bagi mengekang kumpulan-kumpulan pengganas yang “terus menentang kerajaan dengan melakukan aktiviti-aktiviti keganasan.”
Bagi mewajarkan permohonanya untuk pelanjutan undang-undang tentera buat kali ketiga di Mindanao, Duterte berkata meskipun terdapat kemajuan penting, “pemberontakan terus berlaku di Mindanao dan keselamatan awam memerlukan undang-undang tentera yang berterusan di seluruh Mindanao.”
Secara khusus, beliau merujuk beberapa pengeboman yang menggegar banyak bahagian di Mindanao sejak beberapa bulan lepas yang meragut nyawa sejumlah penduduk.
Mindanao telah terjerumus dalam kancah keganasan melampau dan pemberontakan yang berterusan sejak beberapa dekad.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mindanao menyaksikan pelbagai insiden keganasan seperti pengepungan Marawi dan pengeboman di bandar-bandar utama.
Anggota pasukan keselamatan Duterte, yang dipimpin oleh Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana, telah memberi taklimat kepada anggota parlimen sebelum pengundian mengenai keperluan meletakkan Mindanao di bawah pemerintahan tentera, dengan alasan terdapat ancaman berterusan daripada pemberontak dan kumpulan-kumpulan pelampau.
Pasukan itu menggesa Kongres membenarkan pelanjutan undang-undang tentera seterusnya “bagi membantu Angkatan Bersenjata Filipina (AFP), Polis Kebangsaan Filipina (PNP) dan semua agensi penguatkuasaan lain untuk menamatkan pemberontakan yang berterusan ini dan, oleh itu, menghapuskan halangan yang terdapat sejak sekian lama kepada pemulihan sepenuhnya dan pembangunan Mindanao.”
Lorenzana, sebagai pentadbir undang-undang tentera, berkata AFP “akan terus mendokong mandatnya dalam mempertahan kedaulatan negara kita, mengekalkan integriti wilayah kita dan melindungi cara hidup demokratik rakyat kita, dengan menghormati sepenuhnya hak-hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan keutamaan kedaulatan udang-undang.”
Duterte pada mulanya mengenakan undang-undang tentera selama 60 hari di Mindanao pada 23 Mei 2017 selepas militan mengepung Marawi, sebuah bandaraya yang majoriti penduduknya beragama Islam di Mindanao.
Pada kemuncak pertempuran sengit untuk menawan semula Marawi daripada pengganas pro-Daesh pada Julai 2017, Duterte meminta Kongres melanjutkan undang-undang tentera sehingga Disember 2017, yang diluluskan oleh anggota parlimen dengan mudah.
Apabila tempoh itu berakhir, Duterte sekali lagi meminta Kongres melanjutkannya sehingga 31 Disember 2018.
Perlembagaan Filipina 1987 hanya membenarkan presiden mengisytiharkan undang-undang tentera bagi tempoh maksimum selama 60 hari.
Sebarang pelanjutan memerlukan kelulusan Kongres. – Bernama, 12 Disember, 2018
Komen