SEORANG pembantu kanan makmal kini berdepan tuduhan menghina mahkamah oleh Mahkamah Syariah Sandakan setelah dia bertindak melepaskan geram terhadap cara pegawai di situ menjalankan tugas.
Baizurah Masri, 36, berkata dua adik-beradiknya juga sudah tidak lagi mempedulikannya selepas mahkamah syariah daerah itu mengambil tindakan bersabit satu komen di Facebook berkenaan perkhidmatan pegawai di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu.
“Saya tidak pernah rasa keseorangan macam ini dan begitu sedih. Sebagai kakitangan kerajaan, kalau saya ditangkap, saya boleh hilang kerja,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Adik-beradik saya biarkan saya apabila semua ini berlaku kerana takut kesannya terhadap mereka kalau berkata benar.”
Pengalaman pahit Baizurah bermula pada 17 Mei lepas apabila dia memuat naik status di Facebook setelah berurusan di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu sejak pagi yang katanya nampak “sistem macam takda… pembesar suara pun takda…maka pekerja terjerit-jerit memanggil nama.”
Dia juga menambah: “Dari pekerja biasa sampailah judge… kedekut senyum.
“Ada pemanggil nama ni sambil panggil nama sambil lah bersalaman dengan keluarga dan sahabat handai di luar. Orang yang berurusan terpinga pinga tunggu dia habis berbual.”
Dia mengakhiri komennya dengan bertanya: “Persoalannya sampai bila sistem yg begini tidak diperbaiki?”
Baizurah ke Mahkamah Syariah Kota Kinabalu untuk menjadi saksi dalam kes melibatkan seorang kawannya.
Selepas komen di Facebook itu, kata Baizurah, seorang lelaki yang mendakwa wakil mahkamah mula meninggalkan mesej “berbaur ugutan” dan mengganggunya di platform media sosial itu.
Gangguan itu bermula apabila Baizurah menjawab satu komen pada statusnya itu. Dia mengatakan seorang pegawai mahkamah syariah meminta ganjaran untuk mempercepatkan kes tuntutan harta pusaka bapanya pada 2014.
“Lelaki itu menggunakan akaun palsu dengan nama Siyarus Salikin. Hanya selepas saya bertanya beberapa kali, dia memberitahu saya namanya Readwan Roslan, tetapi tidak menyebut apakah dia bekerja di mahkamah syariah,” katanya.
“Saya tidak guna perkataan “rasuah” pada status itu. Saya cuma kata urusan di mahkamah syariah di Sandakan kalau tidak pakai duit tidak berjalan. Tetapi, iyalah, itu membayangkan rasuah.
“Tetapi saya tidak kata sesuatu yang tidak betul,” kata Baizura.
Dia menambah dia ada keterangan adiknya daripada seseorang yang menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes harta pusaka ayahnya tiga tahun lalu.
Katanya, dia tidak lagi ingat nama pegawai itu. Tetapi Readwan bagaimanapun mendesak mahukan nama pegawai itu dan menjelaskan bayaran mahkamah yang perlu dibayar, dan sekiranya tidak dapat berbuat demikian dia perlu meminta maaf kepada mahkamah dan menarik balik kenyataannya itu.
“Sejak itu, saya dalam ketakutan kerana saya sudah mendedahkan terlalu banyak perkara kepada orang yang tidak dikenali. Siapa tahu apa yang dia boleh buat dengan butiran-butiran yang ada.
“Saya tidak pasti apakah dia betul-betul pegawai mahkamah. Jadi, saya enggan buat apa yang dia kehendaki,” kata Baizurah, katanya dan menambah komennya itu sudah dipadam.
Selepas kejadian itu, Baizurah berkata Mahkamah Syariah Kota Kinabalu menghukum kawannya dengan enggan memberikan dokumen atau mengesahkannya.
“Kawan saya menghubungi saya melalui Facebook dan kata mahkamah meminta saya datang ke mahkamah dan memohon maaf atas komen yang tular itu.”
Beberapa orang kawannya juga dihubungi, kata Baizurah, tetapi itu tidaklah mengejutkan seperti apa yang berlaku kemudian.
“Readwan” membuat laporan polis di Sandakan dan satu surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada Baizurah bersama waran tangkap oleh Mahkamah Syariah Sandakan.
Baizurah bagaimanapun memfailkan saman pada 20 Mei dan meminta perintah sekatan, ganti rugi dan kos daripada Readwan. — 22 Ogos 2017.

Komen