Zahid desak Ronald letak jawatan pengerusi PAC


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Ronald Kiandee sepatutnya meletak jawatan sebagai pengerusi PAC selepas mengumumkan keluar parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2018.

UMNO mendesak Ronald Kiandee meletak jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) susulan pengumuman ahli Parlimen Beluran itu untuk keluar parti.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga ketua pembangkang berkata beliau berhak untuk memilih ahli Parlimen yang layak dilantik ke jawatan itu seperti jaminan kerajaan.

Zahid berkata Pakatan Harapan (PH) memberi hak kepada ketua pembangkang untuk memilih pengerusi PAC untuk semak dan imbang dasar kerajaan.

“Apa yang beliau nyatakan adalah hak beliau. Kami merujuk apa yang dijanjikan oleh kerajaan sekarang.

“Kalau beliau masih bersama dengan kita (pembangkang), kita akan mempertahankan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Zahid berkata beliau akan mengadakan perbincangan di kalangan ahli Parlimen pembangkang yang lain bagi memilih calon bagi menggantikan Ronald.

“Kami dalam kalangan pembangkang akan mengenal pasti calon. Notis akan dibuat oleh pengerusi Barisan Nasional kepada speaker Dewan Rakyat mengenai kedudukan pengerusi PAC itu.

“Kami akan mengemukakan cadangan nama ahli Parlimen yang akan menggantikan tempat beliau (Ronald),” katanya.

Terdahulu Kiandee menyatakan beliau menyerahkan nasib kedudukan sebagai pengerusi PAC itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas mengumumkan keluar Umno.

Ronald sebahagian daripada wakil rakyat dan pemimpin Umno Sabah yang keluar parti beramai-ramai untuk menjadi ahli politik bebas dan menyokong PH serta kerajaan negeri. – 12 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen