SEORANG lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang dan membunuh empat orang di sebuah gereja di Brazil semalam sebelum membunuh diri, menurut media tempatan.
Insiden tembakan itu berlaku di Campinas Cathedral di Sao Paulo ketika upacara agama tengah hari sedang berlangsung, kata seorang jurucakap jabatan bomba tempatan kepada stesen penyiar Globo TV.
Suspek yang bersenjatakan dua laras senapang melepaskan sekurang-kurangnya 20 das tembakan sebelum berdepan dengan polis dan membunuh diri di depan altar.
Pihak berkuasa berkata mereka tidak tahu motif di sebalik insiden tembakan pembunuhan beramai-ramai itu namun ia seolah-olah pelaku tidak mempunyai sasaran khusus.
“Kami rasa dia hanya melepaskan tembakan rambang tanpa mencari sasaran yang jelas,” kata setiausaha keselamatan di Campinas, Luis Baggio, kepada stesen TV itu.
Kamera pengawasan menunjukkan seorang lelaki memasuki gereja itu seperti penganut yang lain, duduk di bahagian belakang buat seketika sebelum bangun dan melepaskan tembakan daripada senapangnya, yang sering digunakan oleh pasukan keselamatan, kata Baggio.
Empat mangsa yang cedera dalam insiden itu dibawa ke hospital.
Seorang saksi, Pedro Rodrigues, 66, berkata beliau lari keluar dari bangunan itu ketika mendengar bunyi tembakan dan menyedari apa yang berlaku.
“Penyerang masuk dan mula melepaskan tembakan ke arah satu pasangan sebelum meneruskannya ke semua arah. Bagaimanapun, saya berjaya keluar. Saya amat bernasib baik kerana masih hidup,” kata Rodrigues.
Insiden itu, yang jarang berlaku di negara Amerika Selatan, mengejutkan penduduk Campinas, sebuah bandar yang terletak kira-kira 100km di barat ibu kota Sao Paulo. – Bernama, 12 Disember, 2018.
Komen