China hukum mati lelaki pandu rempuh orang ramai


SEBUAH mahkamah di wilayah tengah China, Hunan, hari ini menjatuhi hukuman mati ke atas seorang lelaki kerana melakukan serangan yang menyebabkan 15 maut.

Yang Zanyun didakwa sengaja memandu kenderaan utiliti sukan Land Rover miliknya ke arah sekumpulan orang ramai dan melanggar mereka di sebuah dataran dalam Daerah Hengdong di bandar Hengyang pada 12 September.

Dia kemudian meneruskan serangan dengan menggunakan sebatang penyodok dan sebilah pisau.

Menurut agensi berita China Xinhua, serangan itu menyebabkan 15 orang maut manakala 43 lagi cedera.

Yang dihukum mati kerana membahayakan keselamatan awam dengan cara yang berbahaya, menurut Mahkamah Rakyat Hengyang.

Mahkamah turut melucutkan hak politik Yang sepanjang hayatnya. – Bernama, 12 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen