SEORANG pegawai polis Thailand ditahan berhubung pembunuhan seorang lelaki rakyat Perancis susulan satu pergaduhan di kawasan Sukhumvit di Bangkok.
Si mati dikenal pasti hanya sebagai Malik, 35. Dia mengalami luka tembakan di kepala.
Menurut agensi berita China Xinhua, insiden pergaduhan itu berlaku di sebuah rumah kedai di kawasan Sukhumvit 13 dalam daerah Watthana pada Selasa malam.
Pesuruhjaya Biro Imigresen Surachate Hakparn pada Rabu berkata anggota polis itu dikenal pasti sebagai Pegawai Waran Polis Kantapong Huadsri yang bertugas di balai polis Lumpini.
Menurut pesuruhjaya itu, kedua-duanya bertumbuk di sebuah bar di kawasan kejiranan tersebut sejurus sebelum suspek mengikut mangsa dan menembaknya di kepala di depan teman wanita si mati.
Anggota polis itu kemudian menyerah diri di balai polis Lumpini.
Polis Thailand berkata siasatan lanjut sedang dijalankan kerana satu laporan menyebut bahawa terdapat seorang lagi lelaki yang menemani suspek ke rumah kedai itu. – Bernama, 12 Disember, 2018.
Komen