PRESIDEN Cuba, Miguel Diaz-Canel menyelar tindakan Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan tidak bermoral, apabila mengkritik mengenai hak asasi manusia, mempolitikkan serta berat sebelah dalam isu itu.
Menerusi catatan Twitternya, beliau berkata “AS tidak mempunyai moral untuk bercakap mengenai hak asasi manusia. Negara itu hipokrit, tidak jujur dan berat sebelah.”
Washington sendiri sering mencabuli hak asasi manusia di seluruh dunia dengan mencetuskan peperangan dan mengeksport senjata, lapor agensi berita Xinhua.
“Pencabulan hak asasi manusia yang paling jelas dan kejam dilakukan AS ialah mengenakan sekatan ekonomi, perdagangan dan kewangan terhadap Cuba.
“Ketika White House asyik mengkritik Havana melanggar hak asasi manusia, sedangkan AS sendiri acapkali mengabaikan perjanjian antarabangsa berhubung perkara itu,” katanya.
Pada Isnin Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dalam Twitternya menuduh Cuba melanggar hak asasi manusia.
Dalam surat terbuka dihantar kepada Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez, Pompeo berkata, Cuba enggan memberi maklum balas kepada pertanyaan AS mengenai dakwaan tahanan politik di negara Caribbean itu.
Tuduhan itu dibuat selepas pentadbiran Donald Trump memutuskan menutup pejabat imigresennya di Havana, susulan hubungan kedua-dua negara yang semakin tegang sejak memegang jawatan presiden AS pada 2017.
Tahun lepas, beliau menandatangani arahan sekatan lebih ketat ke atas Cuba yang antara lain melarang syarikat AS menjalankan perniagaan dengan firma berkaitan tentera di Cuba selain larangan perjalanan. – Bernama, 12 Disember, 2018.
Komen