Najib, Arul bayar ikat jamin RM500,000


Noel Achariam Asila Jalil

Bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan kompleks mahkamah selepas selesai pertuduhan dan pembayaran ikat jaminnya hari ini. Beliau berdepan tuduhan meminda laporan audit 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Disember, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy membayar ikat jamin masing-masing sebanyak RM500,000 selepas meminta dibicarakan bagi pertuduhan meminda laporan ketua audit negara 1MDB sebelum ia disahkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Mereka dikenakan pertuduhan secara berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Dipercayai wakil Najib membayar wang jaminannya sementara Arul dibayar oleh bapa mertuanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pendengaran itu, Arul hanya membisu dan tersenyum kepada wartawan sebelum meninggalkan mahkamah, sementara Najib enggan memberi sebarang komen.

Najib diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Arul didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan itu.

Beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu. Selain membayar ikat jamin, beliau juga dikehendaki menyerahkan pasportnya.

Beliau diwakili peguam N. Sivananthan.

Kes kedua-duanya ditetapkan pada 4 Januari tahun depan.

Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mengeluarkan kenyataan bulan lalu yang mendakwa pindaan dibuat terhadap laporan audit 1MDB yang dikemukakan oleh penyandangnya, Ambrin Buang, pada 2016.

Beliau berkata, perenggan dalam laporan asal yang menyatakan ahli perniagaan diburu Low Taek Jho hadir semasa mesyuarat lembaga 1MDB dikeluarkan daripada laporan akhir. – 12 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen