Realiti dan isi hati perhimpunan ICERD


Zainal Rashid Ahmad

Perhimpunan ICERD bukan kejayaan PAS atau Umno, sebaliknya kebangkitan Melayu Islam yang mula berasa tidak selesa dengan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2018.

APABILA 150 ribu orang berkumpul dalam Perhimpunan anti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember lalu, ramai yang menilainya secara subjektif.

Itu pandangan. Kita meraikan perbezaannya. Cuma, saya menilainya berdasarkan pengalaman sebagai wartawan sejak bertugas pada era perhimpunan Reformasi 1998.

Perhimpunan reformasi bermula dengan asas berbeza. Ia perhimpunan penyokong Anwar Ibrahim apabila timbul protes berikutan pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri.

Reformasi ini digerakkan penyokong Anwar dalam Umno ketika itu. Sebelum disokong PAS.

Malah, saya berada di majlis ucapan ketua Pemuda Umno ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi di Bandar Tun Razak sewaktu bahang reformasi sangat memuncak. Walaupun akhirnya, Zahid kekal dalam Umno.

Saya juga berada di rumah Anwar di Bukit Damansara setiap hari pada dua minggu pertama disingkirkan daripada Umno dan Kabinet. Melapor dan melihat suasana percikan api reformasi. Malah, mendengar semua siri ucapan penyokong reformasi di laman rumahnya.

Dari rumah Anwar sampai ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, sampai ke malam Anwar diseret Unit Tindakan Khas Polis, semua detik-detik kebangkitan reformasi yang menghangatkan gerakan politik jalanan. Ia banyak memberi pengalaman kepada wartawan muda yang baru belajar melihat huru-hara politik negara.

Pada 2007 hingga 2016, saya berada pula dalam lima siri perhimpunan Bersih. Ibu bagi segala reformasi jalanan abad 21.

Tentunya, semua pengalaman ini memberikan banyak input apabila berada dalam perhimpunan ICERD pada 8 Disember lalu.

Selama enam jam menjalankan tugas liputan, fakta yang mampu termuat dalam laporan berita hanyalah 10%. Sebab berita nilainya hanyalah fakta. Bukan emosi dan warna subjektif perhimpunan itu.

Sejak Bersih 1 memulakan perhimpunan jalanan pada 2007 sebagai langkah menuntut pilihan raya lebih adil diadakan, banyak hal subjektif tidak dicatatkan media rasmi. Terutama media kerajaan. Lebih sedih, banyak kenyataan dinafikan untuk siaran.

Sikap memperlekehkan Bersih antara punca Barisan Nasional (BN) mengalami kemusnahan inci demi inci.

Selepas 11 tahun perarakan Bersih yang pertama, parti paling berkuasa sejak merdeka itu, rebah dalam satu hari sahaja. BN dan Umno tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Memang demonstrasi tidak akan mengubah kerajaan. Sebab demonstrasi bukan pilihan raya. BN dan Umno dulu pun berfikiran begitu.

Media pro kerajaan juga bersikap sama. Sebab itulah, Bersih diperlekeh begitu sahaja. Malah, dianggap sebagai perhimpunan kakasan politik.

Bersih dipersendakan sebagai perarakan anti demokrasi yang ditaja campur tangan asing. Bersih disamakan dengan Revolusi Oren di Eropah Timur. Malah, lebih sarkarstik, Bersih 2 hingga 5 dianggap tajaan Barat hasil campur tangan pelobi Zionis. Bersih disamakan dengan Arab Spring.

Itu kesilapan BN. Suka memperlekehkan semangat rakyat.

Sebagai wartawan senior, saya berada di sekitar lingkaran Pejabat Perdana Menteri waktu itu. Terutama antara tahun 2012 hingga jatuhnya BN.

Bukan sebagai orang parti. Namun, sebagai wartawan yang mahu menyuarakan pandangan. Bahawa, rakyat sedang marah dan sengsara.

Bahawa, tanpa sokongan PKR, PAS dan DAP pun, Bersih tetap wujud dalam hati dan fikiran rakyat yang sudah kecewa dengan kerajaan BN. Bahawa, soal ekonomi yang menghimpit dan pelbagai skandal kewangan negara telah mencetus protes kemarahan rakyat.

Malah, BN sepatutnya bersyukur kerana Bersih wujud. Ia sepatutnya menjadi katalis realiti. Mengapa protes rakyat berlaku dan BN patut merenung sebab musababnya.

Cuma sayang, Najib Razak waktu itu lebih suka mendengar nasihat yang salah. Najib percaya Bersih agenda jahat pembangkang dan ia tidak menggambarkan keseluruhan sokongan rakyat terhadap kerajaan. Najib lupa teori: Seorang yang berarak ialah suara sepuluh orang yang mendiamkan diri.

Awasi pemalsu realiti!

Apabila polis menyebut hanya 55 ribu orang hadir pada perhimpunan ICERD pada Sabtu lalu, pada saya ia jenaka besar. Malah, ramai rakan wartawan berasa lucu.

Polis mengulangi sikap sama seperti era Najib. Cuba menyampaikan maklumat yang membuat kerajaan selesa. Si buta yang menghitung orang dengan menghidu bau kentut pun tahu – angka 55 ribu satu kepalsuan.

Tidak apalah. Angka hanya subjektif. Manipulasi dan simulasi angka boleh saja diumumkan sesuka hati. Paling tidak untuk menjaga bontot kerjaya.

Media pro kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga kelakar. Menyebutnya sebagai 80 ribu. Mengapa mengulangi perangai media pro BN yang selama 11 tahun gagal memberikan isyarat yang benar?

Kalau dulu ketika perhimpunan Bersih, media yang sama menyebut 500 ribu demonstran keluar di jalanan pada Bersih 2 dan Bersih 3.

Hairan, kenapa mesin kiraan media yang sama boleh berubah sekarang. Malah, dengan sengaja mengurangkan lima kali ganda angka kiraan?

Sepatutnya, bandingkan saja foto udara perhimpunan ICERD dengan foto udara Bersih. Logik skala jumlah peserta boleh diukur berdasarkan perbandingan foto udara. Atau, tanya wartawan anda di lokasi.

Semua tahu, skala per ruang meter tempat demonstran berhimpun, serta saiz kepadatan perhimpunan anti ICERD dengan Bersih 2011 dan 2012 hampir sama jumlahnya?

Ini realiti menyedihkan. Memikirkan sikap denial dan kegagalan media pro PH menerima realiti kejayaan ICERD. Malah, ia semacam sumpahan: Bahawa, setiap parti berkuasa sebagai kerajaan akan memiliki pasukan pemikir dan media pelobi yang bersikap denial.

Kenapa ketua editor takut pada fakta? Kenapa masih mahu menghiburkan kerajaan dengan sengaja menafikan hakikat angka?

Selain itu, di peringkat pasukan pemikir pro kerajaan PH, wujud budaya selektif dalam menyampaikan maklumat. Mereka lebih cenderung memilih untuk mencari kecacatan perhimpunan.

Mereka melihat keremehan perhimpunan itu dengan menyerang pemimpin-pemimpin pembangkang yang berucap atau hadir berdemonstrasi.

Pasukan pemikir masih melihat hakikat demonstrasi ini sebagai pesta pemimpin pembangkang. Semua berhempas pulas untuk cuba memperlekeh perhimpunan ini dengan menyelar pemimpin pembangkang yang berucap.

Tidak ada yang berminat untuk mengetahui apa yang tersimpan dan membengkak dalam hati peserta yang berarak.

Inilah politik. Inilah juga fenomena politik. Kita tidak akan dapat melihat pemimpin yang ikhlas cuba menyelami hati nurani rakyat. Semua orang politik menganggap rakyat hanya alat. Rakyat adalah kawanan biri-biri yang digembala pemimpin pembangkang.

Mustahil kebodohan (kalau pun ada) pada 20 atau 30 pemimpin pembangkang yang hadir berucap, adalah kebodohan ratusan ribu rakyat yang berhimpun.

Tahukah realiti sebenar?

Bahawa, apabila pemimpin politik mula berucap di atas pentas simpang empat Dataran Merdeka, demonstran sudah ramai beransur pergi.

Kepadatan di sekitar pentas itu hanya separuh daripada keseluruhan yang hadir. Itu tanda ramai demonstran hadir hanya untuk menzahirkan protes peribadi secara berkumpulan.

Mereka tidak berminat mendengar ucapan pemimpin politik. Malah, ketika Zahid berucap, suara mengeluh jelas kedengaran! Ramai demonstran memperlekeh ucapannya.

Jadi kerajaan PH jangan sesekali mengulangi sikap buruk kerajaan BN terhadap demonstran. Hormati rakyat kerana rakyat memilih anda.

Perhimpunan ICERD bukan kejayaan PAS atau Umno. Ia kebangkitan Melayu Islam yang mula berasa tidak selesa dengan kerajaan.

Hakikatnya, wujud kecelaruan dalam menangani ICERD. Prosesnya tidak dilakukan dengan mengambil kira sensitiviti semasa.

Lupakan PAS dan Umno. Elok dengar dan fahami isi hati 150 ribu demonstran.

Orang yang bijak tidak akan dipatuk ular dua kali dari lubang yang sama. – 12 Disember, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Terima kasih atas komen dan ingatan saudara Zainal itu. Patut juga ditanya apakah setiap demontrans itu tahu yang mereka bantah . tahukah mereka apa itu ICERD. Bagaimana Icerd menjejas kedudukan istemewa mereka sebagai orang Melayu- Islam , atau mereka berdemo seperti kawanan kambing menikuti ketua mereka saja. Itu juga harus ditinjau..

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan