PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam satu temubual bersama Reuters semalam berkata mungkin akan masuk campur dalam kes melibatkan eksekutif Huawei yang ditahan dan dibebaskan dengan ikat jamin oleh Kanada bagi meneruskan hubungan perdagangannya dengan China.
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei, Meng Wengzhou, dikehendaki oleh pihak berkuasa AS kerana melanggar sekatan Iran. Penahanan eksekutif itu di Vancouver telah menyebabkan Beijing berang dan menyebabkan pertikaian perdagangan antara AS-China tegang.
Ketika Reuters bertanyakan sama ada beliau dan Jabatan Kehakiman (DoJ) akan campur tangan dalam kes tersebut, Trump dipetik sebagai berkata: “Apa saja yang baik untuk negara ini, saya akan lakukan.”
“Jika saya fikir ia bagus untuk perjanjian perdagangan yang pasti akan menjadi yang terbesar - yang mana sangat penting, baik untuk keselamatan negara - ssudah tentu saya akan campur tangan jika saya fikir ianya perlu,” Trump memberitahu agensi berita itu.
Beliau juga berkata pegawai-pegawai di Rumah Putih sudah bercakap dengan DoJ dan pegawia-pegawai pihak berkuasa China mengenai kes itu, tetapi beliau belum bercakap secara peribadi dengan Presiden China Xi Jinping atau mana-mana pegawai lain. – AFP, 12 Disember, 2018.
Komen