4 maut insiden tembakan rambang di Strasbourg, Perancis


SEORANG lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan mengakibatkan beberapa yang lain cedera parah berhampiran pasar Krismas terkenal di bandar raya Strasbourg, Perancis pada Selasa sebelum melarikan diri di tempat kejadian, kata pegawai keselamatan.

Polis melancarkan pemburuan selepas suspek melepaskan tembakan sekitar jam 7 malam waktu tempatan (1800 GMT), mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Tentera yang mengawal kawasan itu berbalas tembakan dengan penyerang dan menembaknya, tetapi suspek berjaya melarikan diri, kata sumber polis.

Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner berkata penembak itu sudah dikenal pasti dan mempunyai latar belakang jenayah.

Pasukan keselamatan menutup pusat bandar bersejarah, yang merupakan ibu kota wilayah Alsace dan terletak di sempadan Jerman.

“Kami mendengar beberapa tembakan, tiga mungkin, dan kami melihat orang berlari,” seorang saksi memberitahu AFP.

“Seorang daripada mereka jatuh, saya tidak tahu sama ada ia tersandung atau terkena tembakan,” kata saksi itu.

“Salah seorang daripada mereka jatuh, saya tidak tahu sama ada ia tersandung atau jika dia terkena,” kata saksi itu.

Parlimen Eropah di Strasbourg berada dalam keadaan “lockdown” selepas laporan kejadian menembak berlaku, dengan MEP, kakitangan dan wartawan tidak dapat meninggalkan bangunan, kata seorang wartawan AFP.

Parlimen kini sedang dalam sidang pleno, dengan ratusan MEP dan pegawai melakukan kunjungan bulanan ke Strasbourg dari Brussels.

Pasar Krismas di Strasbourg adalah tarikan pelancongan tahunan yang menarik ratusan ribu pengunjung.

Tahap keselamatan dipertingkatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini setelah beberapa serangan di Perancis oleh pengganas Islam sejak 2015 dan pasaran Strasbourg dianggap sebagai sasaran.

Pada 2016, seorang warga Tunisia berusia 23 tahun telah membunuh 12 orang dan mencederakan 48 yang lain apabila merempuh dengan trak pasar Krismas di Berlin dalam serangan yang didakwa dilakukan kumpulan militan Islamic State (IS).

Unit tentera anti-keganasan khas ditugaskan di Strasbourg dan tentera serta polis bersenjata sering membuat rondaan di pasar itu.

Tembakan pada Selasa adalah ketika pihak keselamatan Perancis berdepan demonstrasi anti-kerajaan lebih tiga minggu.

Hampir 90,000 polis dikerahkan pada Sabtu dalam pusingan keempat protes “jaket kuning” yang menyebabkan keganasan di banyak bandar raya.

Tiga tahun selepas kumpulan militan menembak dan meletupkan 130 orang di Paris pada 13 November 2015, para pegawai anti pengganas Perancis mengatakan fokus mereka beralih.

Daripada serangan yang diselaraskan, kebimbangan utama mereka adalah serangan secara individu yang bertindak tanpa kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas. – AFP, 12 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen