GERAKAN Kuasa Rakyat Malaysia hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung rancangan kerajaan negeri untuk melanjutkan tempoh khidmat Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin ketika sidang Dewan Undangan Negeri Khas pada 13 Disember.
Pengerusi penganjur Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia Zulkarnain Mahdar mendakwa, lanjutan tempoh itu adalah ganjaran kepada Juhar kerana pembabitannya dalam “konspirasi ketua menteri”.
Katanya, Juhar bertanggungjawab bagi pertikaian dalam pelantikan dua ketua menteri Sabah dan untuk meyakinkan Adun BN untuk bertukar sokongan kepada Warisan-Pakatan Harapan.
Zulkarnain juga mendakwa Juhar turut bertanggungjawab terhadap penangguhan pelantikan Musa Aman sebagai ketua menteri Sabah pada malam 10 Mei, walaupun 31 Adun menyokong kepimpinan Musa.
“Undang-undang Sabah mengehadkan tempoh jawatan ketua negeri itu kepada dua penggal. Adakah ini ganjaran untuk Juhar kerana mencipta konspirasi ketua menteri?,” katanya.
“Sekiranya Juhar mendapat tempoh lanjutan, maka ia pastu satu bentuk rasuah dan ia perlu dihentikan,” katanya selepas membuat laporan SPRM di Kuala Lumpur, hari ini.
Kerajaan Sabah dijangka akan memindah perlembagaan negeri untuk melanjutkan had tempoh perkhidmatan ketua negeri.
Zulkarnain berkata masih ramai calon yang layak untuk menjadi ketua negeri yang baharu, seseorang yang mesti tidak memihak. – 11 Disember, 2018
Komen