RIBUAN pelajar universiti di Albania membanjiri jalan raya di Tirana pada Selasa bagi menuntut yuran pengajian lebih rendah dan lebih banyak peruntukan dalam pendidikan awam.
Protes yang bermula sejak minggu lalu itu merupakan gerakan pelajar universiti terbesar sejak demonstrasi pada 1990 membantah bekas rejim komunis, menurut media tempatan.
“Tuntutan kami tidak boeh dirunding, kerajaan perlu menerimanya atau kami akan radikalisasikan gerakan kami,” kata Ilir Curri, pelajar berusia 21 tahun dari Universiti Shkodra di utara kepada AFP.
Yuran pengajian universiti awam adalah di antara 160 hingga 2,560 euro (AS$182-AS$2,916) setahun di Albania, yang merupakan negara miskin dengan purata pendapatan tahunan rakyatnya sekitar 350 euro.
Pelajar terbabit turut mendesak peruntukan pendidikan yang lebih besar, kemudahan kampus yang lebih baik dan pemeriksaan ketat ke atas pensyarahnya.
Pada Selasa, pelajar universiti yang turut disertai pelajar sekolah tinggi, meniup vuvuzela dan membaling telur ke arah bangunan kementerian pendidikan.
“Demonstrasi kami buat tentang politik, tuntutan kami hanya ekonomi,” kata Arben Mali, yang merupakan pelajar jurusan ekonomi dari Universiti Vlira di selatan negara itu.
Pelajar terbabit setakat ini enggan menerima tawaran dialog Perdana Menteri Edi Rama. – AFP, 11 Disember, 2018
Komen