Malaysia tak akan berganjak, tapi...


Noel Achariam

MALAYSIA tidak akan memburukkan lagi situasi dengan Singapura dalam pertikaian sempadan maritim negara namun tidak akan berganjak dengan pendirian berhubung perkara itu, kata Liew Chin Tong.

Menurutnya yang juga timbalan menteri pertahanan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan menteri luar berkata mereka mahu mengendurkan situasi.

“Mereka tidak mahu sebarang pertikaian dan meningkatkan masalah ini. Tiada keperluan untuk memburukkan lagi konflik.

“Kita tidak akan bermain api, tetapi kita tidak akan berganjak dari pendirian kita,” katanya ketika ditemui selepas forum New Malaysia Rising: The Challenge of Fulfilling The Dream yang diadakan di Sunway University hari ini.

Semalam, Dr Mahathir berkata negara tidak akan berperang dengan Singapura berhubung pertikaian sempadan perairan negara, dan berkata perkara itu akan diselesaikan menerusi rundingan atau mahkamah.

Katanya pertikaian tuntutan sempadan dengan negara jiran sudah menjadi perkara biasa.

“Perkara ini memang berlaku antara dua negara jiran apabila tuntutan dibuat,” katanya.

Liew berkata, beliau akan menyerahkan rundingan antara kedua-dua negara itu kerana mereka tidak mahu terlibat dalam konfrontasi lisan dengan Singapura. 

“Kita akan selesaikan isu ini kerana menteri luar (Saifuddin Abdullah) sudah menetapkan jadual dan Singapura sudah mengambil masanya untuk selesaikan isu itu. 

“Kami akan serahkan kepada kementerian luar untuk selesaikan isu ini.”

Kementerian Dalam Negeri Singapura berkata langkah Putrajaya hanya akan meningkatkan ketegangan antara dua negara, dan Singapura kecewa dengan keengganan Malaysia mengalihkan kapalnya ketika rundingan berlangsung di perairan yang dipertikaikan itu.

Pertikaian bermula apabila Malaysia meluaskan had salah satu pelabuhan selatan, yang mana Singapura mendakwa tindakan itu menceroboh kawasan perairannya di Tuas.

Singapura telah membuat protes diplomatik, dengan menyatakan bahawa peluasan itu dilakukan secara unilateral. Malaysia telah menetapkan kawasan baru itu  berada dalam perairannya.

Singapura juga mendakwa antara 24 November dan 5 Disember, kapal Malaysia melakukan 14 pencerobohan di kawasan berkenaan.

Republik itu telah meluaskan sempadan pelabuhannya sendiri, dan mengulangi gesaan untuk kapal Malaysia meninggalkan perairan Singapura.– 11 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen