PEMUDA Umno Sabah, yang enggan meninggalkan parti itu berkata, tindakan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu tidak akan memberi kesan kepada bahagian negeri yang lain.
Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain berkata, tiada satupun daripada 25 bahagian akan ditutup, dan menambah secara strukturnya, parti itu kekal utuh.
“Cakap-cakap (untuk tinggalkan parti) hanya akan menyaksikan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti.
“Umno masih tetap mempunyai ahli. Timbalan ketua sekarang akan memangku tugas ketua bahagian. Kesemua bahagian masih kekal utuh,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor dijangka akan mengumumkan sembilan Adun, empat ahli Parlimen dan 15 ketua bahagian akan meninggalkan parti itu esok.
Hari ini, beliau akan mempengerusikan mesyuarat di Kota Kinabalu yang mana ketua bahagian akan menyuarakan pandangan mereka untuk meningggalkan parti itu, yang kini menjadi pemangkag selepas Pilihan Raya Umum ke 14.
Hajiji yang juga Adun Sultan, merupakan salah seorang pemimpin yang akan meninggalkan Umno.
Pemuda Umno negeri itu bagaimanapun tidak berhasrat meninggalkan parti. – 11 Disember, 2018
Komen