Umno Sabah adakan mesyuarat bincang hala tuju parti 


Jason Santos

Adun dan ahli Parlimen Umno Sabah bercadang untuk meninggalkan parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2018

SEMBILAN Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah dan dua ahli Parlimen mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Kota Kinabalu bagi membincangkan masa depan Umno Sabah. 

15 daripada 25 ketua bahagian, termasuk Ahli Majlis Tertinggi Umno Pandikar Amin Mulia dan Salleh Said Keruak turut hadir pada mesyuarat berkenaan yang diadakan di Hilton Kota Kinabalu.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan pengerusi perhubungan negeri yang juga Adun Sulaman Hajiji Mohd Noor, yang dijangka akan mendengar rancangan beberapa ketua bahagian untuk meninggalkan parti itu. 

Lapan lagi Adun yang turut hadir adalah Masidi Manjun (Karanaan), Rahim Ismail (Pantai Manis) Japlin Akim (Usukan), Mohd Ariffin Mohd Arif (Membakut), Jamli (Tampasuk), Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Isnin Aliasnih (Klias) dan Jusli Ajirul (Gum-Gum). 

Ahli Parlimen Kudat Rahman Bakri dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee turut hadir, manakala Ahli Parlimen Libaran Zakaria Edris dan Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun menghadiri sidang Parlimen. 

Sementara itu, 15 ketua bahagian berkenaan adalah dari Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu, Semporna, Papar, Silam, Kudat, Sepanggar, Kota Belud, Kimanis, Putatan, Tuaran, Tawau, Beluran dan Sipitang. 

Bagaimanapun mereka tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung mesyuarat berkenaan dan Hajiji dijangka akan membuat pengumuman rasmi pada petang esok. 

Difahamkan Hajiji akan mempengerusikan mesyuarat ketua bahagian dan selepas itu bercakap dengan Wanita Umno Sabah.

Difahamkan, pergerakan Pemuda Umno negeri menentang tindakan untuk meninggalkan Umno. – 11 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen