Korea Selatan bincang segerakan projek kereta api rentas sempadan


Presiden Korea Selatan Moon Jae-in akan mempercepatkan perbincangan dengan Korea Utara bagi mengadakan majlis pecah tanah projek landasan kereta api rentas sempadan. – Gambar EPA, 11 Disember, 2018.

KOREA Selatan akan mempercepatkan perbincangan dengan Korea Utara bagi mengadakan majlis pecah tanah projek landasan kereta api rentas sempadan, menurut Kementerian Perpaduan pada Selasa.

Presiden Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un semasa sidang kemuncak ketiga di Pyongyang pada September bersetuju untuk mengadakan majlis itu sebelum akhir tahun.

Sejak bulan lepas kedua-dua pihak mengadakan lawatan tapak bagi memastikan projek yang tertangguh sebelum ini dapat diteruskan dan berjalan lancar.

“Persetujuan mengadakan majlis pecah tanah pada tahun ini dicapai semasa sidang kemuncak September lalu. Namun adalah lebih baik proses lawatan tapak disempurnakan terlebih dahulu,” kata pegawai kementerian itu.

Walaupun kerja-kerja lawatan tapak dijangka selesai minggu depan, kedua-dua pihak masih belum menetapkan jadual untuk pemeriksaan tambahan.

Korea Selatan turut berbincang dengan Amerika Syarikat sama ada majlis yang bakal diadakan itu melanggar sekatan.

Pengecualian sekatan diperlukan bagi membolehkan majlis berkenaan dapat diteruskan. Pengecualian sekatan sama telah diberikan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk projek lawatan tapak. – Bernama, 11 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen