FIZIK statistik mampu membantu pihak berkuasa pengangkutan meramal serta mengelak kesesakan lalu lintas, demikian menurut satu penyelidikan baharu oleh para saintis Universiti New South Wales (UNSW) dan rakan sejawat mereka dari Universiti California Berkeley, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut kertas kerja yang dikeluarkan pada Selasa, data enam bandaraya utama telah dianalisis bagi menentukan berapa lama tempoh yang terpaksa diambil oleh pemandu untuk tiba ke destinasi mereka pada waktu puncak, yang dilabel sebagai “masa pemulihan,” dan di peringkat mana lalu lintas mula bergerak melangkaui kesesakan sehinggalah rangkaian jalan raya terhenti sepenuhnya, atau jem.
“Kami mendapati kaedah masa pemulihan yang mudah ini secara langsung mempunyai kaitan dengan permintaan serta penawaran, dan ini bukan sesuatu yang mengejutkan,” kata Dr Meead Saberi dari UNSW.
“Apa yang mengejutkan ialah kesemua enam bandaraya yang kami kaji menunjukkan perkara yang serupa.”
Analisis menunjukkan bahawa meskipun terdapat pelbagai perbezaan antara bandaraya di seluruh dunia, peralihan kepada kesesakan lalu lintas berlaku dalam cara yang sama.
“Nisbah permintaan melebihi penawaran yang telah kami ukur ialah dari segi nisbah kilometer perjalanan kenderaan yang bergerak di sebuah bandar kepada jumlah jarak yang terpaksa dilalui di rangkaian jalan raya yang boleh ditampung dalam tempoh sejam,” katanya.
“Apabila nisbah ini melebihi satu nilai kritikal, kita akan menyaksikan peralihan kepada kesesakan lalu lintas, contohnya, sebuah bandar global utama seperti London mungkin memiliki nilai kritikal yang lebih kecil, oleh itu, ia menyaksikan kesesakan lalu lintas yang lebih kerap berbanding bandar lebih kecil seperti Adelaide.”
Pihak berkuasa pengangkutan boleh menggunakan penemuan pasukan penyelidik ini untuk memahami bagaimana dan mengapa kesesakan lalu lintas berlaku serta melakukan intervensi dalam sistem rangkaian jalan raya bagi mengelak ia daripada melangkaui kapasiti maksimum. – Bernama, 11 Disember, 2018
Komen