Pembangkang mendahului dalam keputusan awal pilihan raya India


Proses pengiraan undi pilihan raya India berlangsung di Madhya Pradesh, Chhattisgarh, Rajasthan, Telangana dan Mizoram. – Gambar EPA, 11 Disember, 2018.

KEPUTUSAN awal pilihan raya di lima negeri di India menunjukkan parti pembangkang utama, Kongres Kebangsaan India (INC) mendahului parti pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP ), memetik laporan media tempatan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, proses pengiraan undi berlangsung di Madhya Pradesh, Chhattisgarh, Rajasthan, Telangana dan Mizoram.

Kiraan awal mendapati INC mendahului di 54 daripada 90 kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chhattisgarh dan 94 daripada 200 kawasan di DUN Rajasthan. Kedua-dua negeri itu diperintah BJP.

Ketua Menteri Chhattisgarh Raman Singh dari BJP mendahului pencabarnya Karuna Shukla, anak saudara bekas perdana menteri Atal Bihari Vajpayee.

Di Madhya Pradesh yang juga diperintah BJP turut menyaksikan INC menguasai 102 kerusi DUN manakala parti pemerintah sekadar menguasai 95 kawasan.

Parti Telangana Rashtriya Samithi (TRS) yang memerintah selatan Telangana di kedudukan selesa apabila menguasai sekurang-kurangnya 63 daripada 119 kawasan, sementara 28 kawasan lagi dikuasai INC dan rakan sekutunya.

Di utara Mizoram, parti peringkat negeri Mizo National Front (MNF) mendahului di 16 kerusi DUN sementara parti pemerintah INC mengekori dengan 11 kerusi.

Keputusan akhir lima negeri berkenaan dijangka diumumkan pada sebelah petang. – Bernama, 11 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen