BEKAS menteri besar Johor Muhyiddin Yassin merayu kepada pihak istana negeri agar mengembalikan semula status asal pulau paya bakau, Pulau Kukup sebagai taman negara
“Lebih baik bagi Pulau Kukup untuk kekal sebagai taman negara kerana orang ramai boleh masuk tanpa mendapatkan kebenaran daripada mana-mana individu,” kata Muhyiddin di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.
“Saya merayu kepada Sultan untuk membenarkannya kembali kepada asal. Orang boleh mengatakan ia sama tetapi ia tidak sama.
“Sebelum statusnya dibatalkan, mana-mana pihak boleh masuk tanpa mendapat persetujuan daripada orang tertentu,” kata Muhyiddin, yang mengatakan beliau marah apabila mengentahui mengenai pembatalan warta itu.
Beliau berkata walaupun pihak seperti Tunku Mahkota Johor Ismail Sultan Ibrahim berjanji mengekalkannya sebagai sebuah taman, pemilikan tanah itu bukan lagi milik dan selenggaraan kerajaan.
“Sebagai seorang rakyat Johor dan bekas MB, Enakmen Taman Negeri digubal pada zaman saya. Ia dilakukan supaya semua gunung dan pulau termasuk Pulau Kukup kekal sebagai taman negara buat selama-lamanya,” kata Muhyiddin, yang juga menteri besar dari 1986-1995.
“Pada masa yang sama, Perbadanan Taman Negara Johor dimulakan pada 1997 untuk menguruskan taman negeri,” katanya.
Beliau berkata Pulau Kukup adalah salah satu pulau paling indah, sambil menambah ia adalah paya bakau dan tapak Ramsar, dan diurus dengan baik oleh Perbadanan Taman Negara Johor dan oleh itu tiada sebab untuk mengubah status tanah itu.
“Ini pandangan peribadi saya dan sebagai penduduk Johor, saya bukan orang luar,” kata presiden Bersatu itu.
Status Pulau Kukup menjadi isu hangat berikutan keputusan Johor membatalkan status taman negara dan mengubahnya sebagai “tanah kesultanan”, menyerahkan pulau itu kepada Sultan Johor.
Pada Jumaat, Kabinet bersetuju Pulau Kukup harus dikekalkan sebagai taman negara. – 11 Disember, 2018.
Komen