Kongres kedua Bersatu 28-30 Disember ini, kata Muhyiddin


Chan Kok Leong

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan mengadakan kongres kedua di Putrajaya pada hujung bulan ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Disember, 2018.

BERSATU akan mengadakan kongres tahunannya yang kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dari 28 hingga 30 Disember ini, kata presidennya Muhyiddin Yassin.

“Mesyuarat Wanita dan Pemuda akan dirasmikan oleh saya pada 28 Disember, diikuti dengan mesyuarat perwakilan pada 29 Disember,” katanya di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata mesyuarat utama akan dirasmikan oleh pengerusi Dr Mahathir Mohamad pada malam 29 Disember diikuti dengan mesyuarat perwakilan pada 30 Disember.

“Ini mesyuarat agung pertama Bersatu selepas pilihan raya umum,” katanya yang juga menteri dalam negeri itu.

Kongres kedua Bersatu itu akan menyaksikan kira-kira 1,200 perwakilan dari sayap Wanita dan belia manakala 1,600 perwakilan akan datang dari badan utama yang melibatkan 135 bahagian.

“Akan ada penggulungan pada 30 Disember oleh semua pemimpin parti pada,” kata Muhyiddin.

Menteri Dalam Negeri itu turut mengatakan bahawa hanya akan ada satu resolusi, yang akan dibawa perwakilan Johor, bagi membahas ucapan dasar pengerusi.

Antara isu utama yang akan dibincang ialah bagaimana parti itu akan mengendalikan dasar-dasar utama mengenai kedudukan orang Melayu, monarki, bahasa kebangsaan dan bagaimana untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak mahu rakyat Malaysia ada keraguan tentang komitmen kami untuk menegakkan Perlembagaan,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata Bersatu ingin memberi jaminan kepada orang Melayu khususnya yang mula merasa bimbang dengan kerajaan baru dan dasarnya.

Merujuk kepada majlis makan malam amal minggu lalu, Muhyiddin berkata bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad  meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk mengkaji semula Belanjawan 2019 untuk melihat bagaimana ia dapat menangani beberapa kebimbangan yang menjejaskan rakyat Malaysia di dalam industri pertanian.

Beliau berkata walaupun Bersatu adalah parti berasaskan kaum, ia bukan “perkauman”.

“Kami menyedari bahawa kemenangan pilihan raya umum kami adalah disebabkan sokongan kuat dari pengundi Cina dan India dan sebahagian orang Melayu yang mahukan perubahan. kita kenal pasti mengenai hal ini.

“Tetapi kita juga tidak mahu orang Melayu merasa bahawa mereka ditinggalkan ke belakang,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata parti itu adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan dan akan terus memperjuangkan isu Melayu.

“Walaupun kita melakukan ini, kita mesti bersikap adil kepada kaum lain,” katanya. – 11 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen