TIGA nama pemimpin PKR disebut-sebut sebagai pemimpin berpotensi menggantikan Dr Muhammad Nur Manuty sebagai pengerusi PKR Perak, kata sumber.
Dua daripadanya adalah Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye dan anggota exco negeri Yunus Jamhari yang merupakan orang kuat timbalan presiden Azmin Ali.
Seorang lagi ialah pembantu Presiden PKR Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dari kem pencabar Azmin, Rafizi Ramli.
Dalam satu pertemuan Anwar dengan ketua cabang di Perak minggu lalu, Farhash yang juga ketua cabang Kuala Kangsar mendapat undi tertinggi – 10 daripada 20 undian.
Wakil dari tiga cabang iaitu Tanjung Malim, Bukit Gantang dan Bagan Datuk tidak hadir manakala Cabang Gopeng berkecuali dan tidak membuang undi.
“Majoriti ketua cabang menyokong kepimpinan Farhash. Dia pimpinan anak muda yang merupakan pegawai politik Anwar.
“Peringkat akar umbi juga menyukai beliau,” kata sumber parti dari Perak yang enggan dinamakan.
Sementara itu sumber Perak yang lain melihat politik Perak perlulah dipimpin oleh individu yang lebih berpengalaman dan boleh merapatkan rangkaian antara parti DAP, Amanah dan Bersatu dalam Pakatan Harapan.
“Dr Lee dan Yunus kedua-duanya didukung kumpulan Azmin yang sangat berpengalaman. Mereka juga anak tempatan yang tinggal di (Perak).
“Dalam politik Perak, jika ada pengalaman lebih mudah untuk berkomunikasi dengan (pengerusi PKR Perak) Nga Kor Ming dan juga (pengerusi Amanah negeri) Asmuni Alwi, misalnya,” kata sumber.
Bekas ketua cabang di Perak itu berkata kedua-duanya lebih sesuai kerana Farhash bukan orang tempatan.
“Mereka sudah masak sepak terajang politik di Perak. Saya difahamkan Farhash tinggal di Kuala Lumpur,” kata sumber.
Dr Lee juga dilihat berpotensi kerana beliau sebelum ini merupakan timbalan pengerusi negeri.
Majoriti ahli di Perak juga memilih Rafizi untuk jawatan timbalan presiden semasa pemilihan parti.
Malam ini, Biro Politik PKR dijangka mengumumkan 14 pengerusi negeri bagi mengukuhkan parti reformasi itu selepas pemilihan berakhir bulan lalu.
Ia dijangka akan mengambil kira keputusan pemilihan peringkat cabang yang menyaksikan kemunculan muka-muka baharu dan kekalahan nama-nama besar.
Antara yang tewas dalam pemilihan peringkat cabang adalah ketua penerangan PKR negeri Siti Aishah Shaik Ismail yang kalah bertanding jawatan ketua cabang Tapah.
Naib Pengerusi PKR Perak Mohamad Imran Abd Hamid juga turut tewas di cabang Lumut dalam pertembungan empat penjuru. – 11 Disember, 2018.
Komen