Bekas PM Sri Lanka beri amaran adakan protes besar-besaran


Bekas perdana menteri Sri Lankan, Ranil Wickremesinghe memberi Presiden Maithripala Sirisena tempoh sehingga Jumaat untuk melantiknya semula. – Gambar EPA, 11 Disember, 2018.

PERDANA menteri Sri Lanka yang digulingkan berjanji hari ini membawa puluhan ribu penyokong ke ibu kota minggu depan untuk demonstrasi besar-besaran kecuali jika Presiden Maithripala Sirisena melantiknya semula.

Ranil Wickremesinghe, yang dipecat pada Oktober menjerumuskan Sri Lanka kepada krisis, berkata beliau masih memperoleh sokongan Parlimen dan Sirisena mempunyai tempoh sehingga Jumaat untuk mengiktirafnya.

Sri Lanka terperangkap dalam perebutan kuasa sejak Sirisena menggantikan Wickremesinghe dengan Mahinda Rajapakse, seorang bekas pemimpin kontroversi.

Parlimen dua kali mengundi menentang Rajapakse tetapi Sirisena enggan mengembalikan semula jawatan bekas sekutunya Wickremesinghe.

Mahkamah Agung negara memutuskan minggu ini sama ada pemecatan Parlimen Sirisena pada November sama ada mengikut Perlembagaan atau sebaliknya.

Wickremesinghe berkata puluhan ribu ahli parti yang setia akan mengadakan perhimpunan di Colombo jika presiden tidak mengindahkan keputusan mahkamah.

“Selepas keputusan mahkamah, kami akan melancarkan kempen ‘Kuasa Rakyat’ untuk memaksa presiden menamatkan krisis,” katanya dalam satu kenyataan.

Wickremesinghe memperoleh majoriti di Parlimen, yang sudah dua kali mengundi menentang Rajapakse.

Mahkamah rayuan minggu lepas juga melucutkan kuasa Rajapakse dan Kabinetnya sehingga beliau dapat membuktikan haknya untuk memegang jawatan.

Rajapakse, yang disokong oleh presiden tidak mengendahkan Parlimen, dan menamakan Kabinet serta mengambil alih tugas perdana menteri.

Tetapi badan perundangan 225 ahli itu menyekat pejabatnya daripada membelanjakan sebarang dana, memburukkan lagi perbalahan antara mereka.

Dewan menyaksikan keganasan dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan perebutan kuasa yang berlarutan, dengan pergaduhan di antara pihak yang berbalah.

Minggu lepas, Wickremesinghe menyamakan Sirisena dengan Hitler, komen paling lantang yang ditujukan kepada bekas sekutunya itu. – AFP, 11 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen