Kumpulan alam sekitar persoal status baharu Pulau Kukup


Bede Hong

Puau Kukup di Pontian, Johor merupakan pulau paya bakau kedua terbesar di dunia. – Gambar Youtube, 11 Disember, 2018.

KUMPULAN alam sekitar mempersoalkan kesahan pertukaran status Pulau Kukup daripada taman negara kepada tanah kesultanan, dengan mengatakan enakmen negeri digunakan untuk membuat perubahan boleh digantikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Status Pulau Kukup menjadi isu hangat berikutan keputusan Johor membatalkan status pulau itu sebagai taman negara dan menjadikan ia sebagai “tanah kesultanan” di bawah Enakmen Tanah Kesultanan 1934, menyerahkan pulau itu kepada Sultan Johor.

“Peguam perlu berbincang untuk melihat kesahan enakmen itu, sama ada ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah undang-undang dari tahun 1934 sebelum Merdeka,” kata Surin Suksuwan, pengarah serantau Proforest bagi Asia Tenggara, sebuah kumpulan pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata sepatutnya terdapat perundingan awam berhubung pembatalan dan pertukaran status pulau yang terkenal dengan hutan paya bakau itu.

“Ini adalah kepentingan awam kerana taman negara adalah kepentingan negara.

“Ia salah apabila Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata pihak luar tidak perlu campur tangan dalam perkara itu.

“Perlu ada beberapa rundingan awam dengan penduduk Johor sama ada mereka bersetuju dengan pewartaan atau tidak. Walaupun proses perundangan semasa tidak mengatakan apa-apa, anda masih boleh berunding dengan rakyat,” katanya.

Tunku Ismail pada Ahad marah dengan kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar kerana menggesa pulau paya bakau itu dikekalkan sebagai taman negara, dan berkata bapanya, Sultan Johor, bersetuju untuk mengekalkan pulau itu sebagai taman nasional tetapi masih mengekalkan statusnya sebagai tanah kesultanan.

Putera mahkota juga berkata “orang luar” tidak patut campur tangan dengan hal berkaitan Johor.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata pulau itu harus dikekalkan statusnya sebagai taman negara dan berharap kerajaan Johor menerima keputusan kerajaan persekutuan.

“Itulah pendirian kerajaan persekutuan. Saya harap Johor akan terima. Pulau Kukup tidak boleh dibangunkan. Ia perlu kekal sebagai rizab hutan, terutamanya kerana ia hutan bakau istimewa,” kata Dr Mahathir.

“Kami tidak mahu hutan paya bakau ditebang untuk membangunkan pulau itu,” kata Dr Mahathir selepas menghadiri acara di Putrajaya.

Surin berkata beliau bersetuju dengan Dr Mahathir yang isu itu adalah kepentingan rakyat Malaysia dan bukan hanya penduduk Johor.

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, taman negara terletak di bawah Senarai Bersama yang bermaksud ia berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan negeri. Jadi tidak tepat mengatakan ia hanya melibatkan rakyat Johor sahaja.”

Beliau menambah tanah kesultanan di UK dan beberapa negara Komanwel mungkin bermula sebagai tanah kepunyaan raja tetapi kini dikelola sebagai tanah awam.

“Dengan kata lain, ia tidak boleh dibuat sesuka hati. Di UK, keuntungan daripada tanah kesultanan diserahkan kepada Parlimen Britain.

“Tanah taman seperti Hyde Park tidak sama dengan taman negara. Ia adalah untuk rekreasi manakala taman negara untuk pemuliharaan biodiversiti.”

Beliau mengambil contoh taman negara Royal Belum di Perak sebagai contoh sebuah taman negeri yang dilindungi di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak tetapi dengan status diraja.

Sebaliknya, beliau berkata Pulau Kukup diturunkan daripada status perlindungannya sebagai taman negara dan Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor tidak lagi boleh dikuatkuasakan di pulau itu kerana ia kini menjadi tanah kesultanan.

Sementara itu, Persatuan Perlindungan Alam Semulajadi Malaysia (Peka) berkata semua kawasan hutan yang masih kekal harus dilindungi sebagai taman negara sekiranya kerajaan Pakatan Harapan komited terhadap perlindungan alam sekitar.

“Malaysia Baru menuntut janji sebenar daripada kerajaan PH dan bukan hanya retorik politik,” kata Setiausaha Agung Peka, Rahman Hamid. – 11 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen