Suspek pengganas di Malaysia tiada tujuan hidup, tak faham agama


Muzliza Mustafa

Mereka yang menyertai kumpulan militan Islamic State percaya hanya melalui perjuangan bersenjata mampu menyelesaikan masalah dihadapi umat Islam di seluruh dunia hari ini. – Gambar AFP, 2 April, 2017.

KEBANYAKAN pelampau agama ditahan di Malaysia kerana terlibat keganasan Islam kesunyian dan naif, datang daripada keluarga berpecah-belah dan mempunyai keinginan tulen mempertahankan agama sebaik mungkin, kata pakar keganasan Ahmad El-Muhammady.

Beliau berkata mereka yang mempunyai ciri ini adalah “mangsa mudah” bagi organisasi pelampau, sambil menambah hampir kesemua 50 suspek pengganas yang berusia antara 16 hingga 50 tahun kini menjalani program pemulihan, didapati tidak stabil dari segi emosi dan psikologinya.

Kebanyakannya kurang pengetahuan agama, atau pemahaman tentang Islam yang tidak tepat dan salah tafsir.

Sebahagian besarnya memiliki ciri berkenaan, walaupun terdapat juga yang tidak sesuai dengan “jenis” ini. Namun, mereka terlibat dengan kegiatan militan.

Islamic State (IS) memberi jawapan kepada kekurangan tujuan hidup yang dicari, kata Ahmad.

“Mereka berasa kosong. Tetapi apabila didatangi perekrut IS, mereka tiba-tiba berasa mempunyai tujuan hidup dan seseorang membimbing mereka ke arah memenuhi maksud itu.

“IS menyediakan mereka dengan wawasan baru, makna dan hala tuju dalam kehidupan, perkara yang sangat diingini mereka.

“Bagaimanapun, mereka tidak menyedari sedang dieksploitasi. Percaya mereka berjuang dengan alasan yang benar dan tahu risikonya.”

Ahmad (gambar), merupakan sebahagian daripada pasukan 10 kaunselor di bawah program pemulihan keganasan di Malaysia, berkata 90% daripada mereka yang menamatkan program antara 2005 hingga 2012 masih berpendapat perjuangan mereka adalah benar.

Mereka masih percaya jihad melalui perjuangan bersenjata adalah penyelesaian kepada masalah Islam hari ini. Tetapi mereka turut mengakui keganasan bukan penyelesaian.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 7% menyertai semula rangkaian pengganas selepas dibebaskan. Ini dianggap militan tegar. Sementara yang lain, katanya, tidak akan mengambil risiko dipenjarakan demi perjuangan itu.

“Jumlah ini (7%) adalah sekumpulan individu keras kepala yang masih percaya dalam perjuangan mereka,” katanya.

“Mereka tidak mudah menerima program pemulihan. Ia individu berisiko tinggi.”

Beliau menambah dalam beberapa kes, tahanan yang dibebaskan akan kembali kepada IS.

“Yazid Sufaat, Mohd Lotfi Ariffin dan Mohd Rafi Udin adalah antara yang kembali ke militan atas nama jihad,” kata Ahmad.

Yazid Sufaat – juga dikenali sebagai Yazud Sufaat atau Yazid Shufaat – adalah ahli Malaysia Jemaah Islamiyah, yang ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 2001. Beliau, kemudian didapati terlibat lagi dalam merekrut belia.

Bekas pengendali kantin dan rakannya, Muhammad Hilmi Hasim, menghabiskan tujuh tahun di pusat tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibebaskan pada 28 November 2008.

Bagaimanapun, Yazid dan Hilmi ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma, yang digubal pada Mei 2013.

Pada Januari 2016, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara dua lelaki selama tujuh tahun selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan meninggalkan maklumat  berkaitan perbuatan pengganas.

Lotfi, juga bekas tahanan ISA, terbunuh pada 2014 dalam serangan udara di Syria.

Lelaki berusia 46 tahun itu adalah antara yang terlibat militan IS dan pejuang jihad warga Malaysia terbabit pertempuran apabila jet pejuang tentera Syria mengebom lokasi mereka tiga tahun lalu.

Lotfi adalah rakyat Malaysia keempat terbunuh di Syria.

Beliau sebelum ini terlibat dalam beberapa peperangan di negara lain. Beliau dikatakan menjalani latihan militan ekstensif sebelum menuju ke Syria di mana beliau ditugaskan memimpin rakyat Malaysia.

Seorang lagi suspek pengganas adalah Rafi. Beliau ahli Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM) yang meninggalkan negara ke Syria pada 2014 untuk berjuang bersama IS.

Ramai di antara rakannya meninggal dunia. Difahamkan Rafi masih di Syria dan tempang selepas cedera dalam serangan hendap tentera Presiden Syria Bashir Al-Assad dua tahun lalu.

Sejak 2013, sebanyak 294 ditangkap di Malaysia kerana disyaki terlibat dengan rangkaian pengganas IS. Daripada jumlah itu, 257 lelaki dan 37 wanita.

Sebagai sebahagian daripada usaha mengintegrasikan tahanan ke dalam masyarakat, polis menganjurkan satu program pemulihan pengganas di mana suspek “dibimbing” kaunselor untuk tempoh yang panjang, walaupun selepas dibebaskan.

Kira-kira 10 kaunselor ditugaskan melawat tahanan yang diberikan tempoh enam bulan, menggalakkan lelaki dan wanita membincangkan ideologi mereka. Kaunselor terdiri daripada pemimpin agama dan pendakwah.

Ahmad berkata program itu “salah satu yang terbaik di dunia”, tetapi mengakui terdapat kes berulang.

Beliau berkata, membawa perubahan dalam jiwa seorang pengganas mengambil masa, sambil menambah indoktrinasi mutlak pengikut menyukarkan ia menepati kewarasan moral mereka.

“Anda tidak boleh mengharapkan ia berlaku selepas hanya satu sesi,” katanya mengenai bahaya menganggap bekas pelampau berubah secara tergesa-gesa.

Ahmad berkata, majoriti yang tertarik dengan pelampau ini disebabkan tidak mempunyai pendidikan dan pendedahan kepada norma sosial, memetik contoh Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, antara yang tersenarai dalam individu paling dikehendaki kerana aktif merekrut rakyat Malaysia menyertai IS.

“Wanndy tidak mempunyai pendedahan akademik langsung. Saya percaya pengetahuan agamanya juga minimum. Ini bermakna beliu tidak mempunyai perbandingan atau penanda aras untuk menilai sama ada ia perkara betul atau salah dari sudut pandangan Islam. Beliau mempelajari Islam di medan perang. Itulah versi Islam yang beliau tahu,” kata Ahmad.

Ekstremisme berkembang apabila pengikut mempunyai komuniti sendiri, terma rujukan dan metodologi berbeza daripada arus perdana.

“Pada saat ini, mereka tidak mempunyai sesiapa untuk membantu mereka mempertimbangkan antara benar dan salah. Terutama individu yang minimum atau kurang pengetahuan agama,” kata Ahmad.

Katanya, memandangkan peluang tinggi bekas tahanan kembali ke cara lama, kesemua masih dipantau selepas dibebaskan dan kaunselor dikehendaki bertemu mereka dengan kerap.

“Mereka mungkin tidak berpendidikan tinggi dalam bidang akademik tetapi terdidik dalam bidang masing-masing. Jadi, kita perlu bersedia menangani kebimbangan mereka dan mendengar apa yang dikatakan.”

Beliau berkata topik debat paling popular dengan tahanan adalah kezaliman terhadap umat Islam di luar dan dalam negara, yang banyak digunakan sebagai justifikasi bagi tindakan ganas mereka.

“Bagi mereka, ia wajar mengisytiharkan perang terhadap pihak lain kerana dalam keadaan sekarang, ia adalah satu-satunya cara melakukan jihad.” – 2 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen