KERAJAAN berusaha mengambil alih pentadbiran dan mengawal selia sekolah agama Islam di Wilayah Persekutuan melalui pembentangan satu rang undang-undang baharu hari ini.
Cadangan pindaan ke atas Seksyen 87 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Akta 505) itu juga akan memberi kuasa kepada kerajaan menamatkan operasi sekolah terlibat.
Pindaan berkenaan dijangka akan tangani masalah dalam pentadbiran sekolah tahfiz di Wilayah Persekutuan, terutama sekolah yang tidak didaftarkan dengan kerajaan.
Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri Hal Ehwal Aagama Mujahid Yusof Rawa itu menggariskan, ia bagi melindungi kepentingan awam dan pelajar sekolah agama Islam terbabit.
Dengan pindaan tersebut, majlis agama berkuasa memasuki, memeriksa serta mengambil tindakan yang perlu terhadap sekolah terlibat untuk memastikan pematuhan ke atas peraturan ditetapkan.
Ia turut memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis Agama Islam ke atas pendaftaran dan pengawalseliaan sekolah agama Islam termasuk soal pengajaran dan pembelajaran agama Islam.
Satu peruntukan baharu, dalam Seksyen 99 akta tersebut juga memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong kuasa untuk menetapkan kesalahan dan penalti bagi kesalahan.
Denda yang dicadangkan tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pindaan berkenaan akan menangani masalah dalam pentadbiran sekolah tahfiz di Wilayah Persekutuan, terutama sekolah yang tidak didaftarkan dengan kerajaan.
Rang Undang-undang Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2018 itu dibacakan oleh menteri di jabatan perdana menteri tersebut buat kali pertama di Dewan Rakyat pagi ini. – 10 Disember, 2018.
Komen