Afghanistan lancar kempen vaksin polio di 10 wilayah


KEMENTERIAN Kesihatan Awam Afghanistan melancarkan kempen lima hari pada Isnin untuk memberikan dos vaksin keimunan kepada sejumlah tiga juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun di 10 daripada 34 wilayah negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan.

Kenyataan kementerian itu menyebut langkah tersebut dilancarkan selepas satu kes baharu polio dikesan di wilayah selatan Helmand pada awal bulan ini, menjadikan jumlah kes jangkitan polio yang disahkan kepada 21 sejak Januari tahun ini.

“Polio adalah sejenis penyakit berjangkit yang menyebabkan kelumpuhan dan berpotensi membawa maut.

“Tiada ubat yang boleh merawat penyakit ini dan vaksin polio adalah satu-satunya langkah yang selamat serta berkesan untuk melindungi kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Pemberontakan dan konflik yang berlanjutan telah menjejaskan usaha untuk membasmi penyakit berjangkit di negara pergunungan itu. – Bernama, 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen