Pemandu teksi bakar diri bantah perkhidmatan e-hailing di Korea Selatan


Perkhidmatan yang dikenali sebagai KakaoTaxi itu diperkenalkan oleh syarikat aplikasi mesej terbesar negara itu, KakaoTalk yang dilihat menggugat pendapatan pemandu teksi. – Gambar AFP, 10 Disember, 2018.

SEORANG pemandu teksi di Korea Selatan maut selepas membakar diri sendiri sebagai tanda bantahan tindakan sebuah syarikat aplikasi tempatan memperkenalkan perkhidmatan e-hailing.

Perkhidmatan yang dikenali sebagai KakaoTaxi itu diperkenalkan oleh syarikat Daum Kakao yang mengendalikan aplikasi mesej terbesar negara itu, KakaoTalk yang dilihat menggugat pendapatan pemandu teksi.

Aplikasi Uber dari Amerika Syarikat hanya digunakan segelintir penduduk di negara itu selepas perkhidmatan itu ditutup pada 2015 ekoran bantahan keras pemandu teksi.

Aplikasi mesej KakaoTalk digunakan lebih 80% penduduk Korea Selatan, sekali gus memaksa puluhan ribu pemandu teksi mengadakan demonstrasi di Seoul bagi membantah pelaksanaan perkhidmatan itu yang akan dilancarkan pada minggu depan.

Pemandu teksi berusia 57 tahun yang hanya dikenali sebagai Choi, membakar dirinya di depan bangunan Parlimen di Seoul hari ini bagi menunjukkan bantahan terhadap perkhidmatan itu.

Dia menyimbah minyak ketika duduk di dalam kenderaannya sebelum membakar diri sendiri, lapor polis.

Mangsa sempat dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Choi merupakan pemimpin kesatuan teksi di syarikat tempat dia bekerja di Seoul. – AFP, 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen