Media kini lebih bebas berbanding di bawah kerajaan sebelum ini, kata Zahid


Asila Jalil

Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebebasan media kini lebih baik berbanding zaman pentadbiran kerajaan sebelum ini.– Gambar The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2017.

MEDIA hari ini mempunyai kebebasan yang lebih baik berbanding pada pentadbiran kerajaan sebelum ini, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata, hasil penyelidikan untuk disertasi kedoktorannya mengenai perbandingan antara Berita Harian dan Utusan Malaysia menunjukkan berita yang diaporkan sepanjang lima pilihan raya umum di bawah pentadbiran perdana menteri yang paling lama ketika itu ditentukan oleh “seseorang individu”.

“Apa yang berlaku ketika itu sama ada dipersetujui atau tidak dipersetujui pengamal media.

“Sebenarnya penentuan (berita) tidak bergantung sepenuhnya kepada pemilik media ketika itu. Dalam kes ini, ia ditetapkan ‘individu berkenaan’,” kata Zahid pada program Hari Kebangsaan Berita Harian di Kuala Lumpur Sentral hari ini.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, jelas sekali kenyataan Zahid yang juga menteri dalam negeri itu merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mentadbir negara selama 22 tahun.

Tambahnya, media kini mempunyai lebh banyak ruang untuk melaporkan berbanding ketika itu.

“Kita boleh nampak perbezaan kebebasan melaporkan berita, yang mana ia lebih baik selepas pentadbirannya, tanpa had dan atau wujudnya penetapan agenda.

“Masa sudah berubah, kita perlu mengakui era kini lebih baik berbanding ketika kita di bawah ‘zaman kekuasan’,” tambahnya.

Zahid berkata, kebenaran perlu menjadi komponen utama dalam laporan berita dan berita yang ditulis untuk mengelirukan pembaca perlu ditolak.

Katanya, etika kewartawanan yang diamalkan oleh media tradisional telah diambil alih peranannya oleh wartawan tidak beretika melaporkan berita yang mereka tahu apa penetapan agendanya.

“Pada saya tidak kira di mana kita sekiranya kita mahu mentafsirkan kebebasan minda atau kebebasan menyuarakan pendapat, etika (dalam laporan) perlu ditegakkan.

“Jangan melakukan sesuatu dengan melulu, terutama bila meluahkan kemarahan menerusi penulisan yang boleh merosakkan negara,” kata Zahid.

Beliau turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan untuk memberi sokongan kepada media “sederhana” dalam memberi iklan.

“Mereka tidak boleh hanya bergantung kepada pembeli sahaja kerana mereka media sederhana yang mengamalkan kesederhanaan dalam pendekatan media mereka,” tambah Zahid.  – 21 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen