Saya tiada aset, kata Waytha Moorthy


Asila Jalil

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy mengulas sebab beliau tidak mengisytiharkan aset menerusi laman web SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2018.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata beliau tidak mempunyai sebarang harta untuk diisytihar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana beliau menggunakan wangnya untuk membantu golongan miskin.

Waytha Moorthy antara enam menteri yang masih belum mengisytiharkan aset dalam laman web SPRM.

Sehubungan itu, Waytha Moorthy menjelaskan sebab beliau hanya mengisytiharkan pendapatannya iaitu RM48,736.48 menerusi laman web itu.

“Saya tidak memiliki aset. Apabila mengisi borang, saya mengisi semuanya termasuk jumlah pendapatan, tetapi saya tiada aset.

“Sepanjang hidup saya adalah aktivis, dan semua pendapatan saya digunakan dalam memperjuangkan nasib kaum India yang miskin.

“Jadi saya tak ada akses wang untuk membeli harta. Dalam 15 tahun saya bekerja sebagai peguam, saya tidak ada harta. Orang biasa mungkin ada, memang pendapatan saya sekian lama begitu,” kata Waytha Moorthy ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Selain Waytha Moorthy, menteri Kabinet lain yang belum mengisytiharkan aset adalah Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Perundangan Liew Vui Keong, Menteri Pelancongan Mohamaddin Ketapi dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim.

Semakan pada laman web itu hari ini menunjukkan perkembangan terbaharu termasuk aset Wan Azizah yang berjumlah RM1.14 juta.

Maklumat aset Sim pula menunjukkan beliau memiliki aset berjumlah RM329,000.

Saifuddin sebelu  ini berkata sudah mengisytiharkan aset tetapi maklumat itu belum dikemaskini dalam laman web itu.

Kini tinggal Liew dan Mohamaddin yang masih memberi maklum balas kepada media untuk menyatakan sebab aset mereka belum diisytiharkan. – 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen