Kerajaan bentang kertas putih Felda tahun depan


SM Amin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata beliau akur dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menolak sebarang kerjasama dengan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2017.

KERAJAAN menangguhkan pembentangan kertas putih Felda di Dewan Rakyat yang sepatutnya mendedahkan keadaan kewangan dan pengurusan lembaga itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata, ia ditangguhkan ke sidang Parlimen tahun depan atas nasihat Pejabat Peguam Negara (AGC) agar menyelesaikan isu perundangan yang terlibat terlebih dahulu.

Azmin berkata penyediaan kertas putih itu sudah berada di peringkat akhir bagi mendapatkan gambaran yang mendalam tentang kemelut yang menyelubungi Felda ketika ini. 

“Walau bagaimanapun, MEA telah dinasihatkan oleh Jabatan Peguam Negara untuk mempertimbangkan semula cadangan pembentangan kertas putih pada 10 Disember 2018. 

“Ini kerana AGC berpendapat beberapa isu perundangan perlu diselesaikan sebelum kertas putih tersebut boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Azmin, Kabinet bersetuju agar pembentangan kertas putih itu akan dibuat dalam mesyuarat pertama sidang Dewan Rakyat tahun hadapan.

Lembaga berkenaan kini dilaporkan mengalami masalah aliran tunai yang amat kritikal dan mempunyai hutang berjumlah lebih RM8 bilion.

Bagi mengatasi masalah itu, Felda ketika ini dalam proses menjualan aset-aset yang tidak strategik termasuk hartanah di luar dan dalam negara.

Pada September, Felda mengumumkan penjualan aset termasuk hotel, pangsapuri dan asrama pelajar berjumlah kira-kira RM2.2 bilion.

Ia dijangka membantu mengurangkan hutangnya kepada RM6.5 bilion pada akhir tahun daripada hutang itu. – 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen