Penyedia perkhidmatan subsidi petrol diketahui bulan depan, kata menteri


Christopher Rabin

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution berkata pemberian subsidi kepada golongan bersasar mampu memberi penjimatan dan melegakan rakyat yang kini menanggung beban kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2018.

KEMENTERIAN Kewangan akan memilih penyedia perkhidmatan bagi pemberian subsidi petrol RON95 pada bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution .

“Kita akan mengetahui penyedia perkhidmatan itu pada Januari. Mereka akan dipilih oleh Kementerian Kewangan, kemudian kita akan berkerjasama dengan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas perhimpunan mingguan kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Saifuddin berkata pemberian subsidi petrol seperti diusulkan kerajaan pada Belanjawan 2019, yang dijangka bermula pada April tahun depan, merupakan langkah penting bagi kerajaan dan rakyat.

Katanya langkah itu mampu memberi penjimatan dan melegakan rakyat yang kini menanggung beban kewangan.

Ahli Parlimen Bandar Baharu Kulim itu berkata kementeriannya memainkan peranan penting untuk memastikan terhadap margin kecil antara harga petrol RNO95 yang subsidi dan yang tidak diberikan subsidi.

Selain itu katanya kementerian perlu memastikan sebarang kenaikan harga minyak akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Pasti akan ada kesan sampingan, jadi persediaan perlu dilakukan bagi mengurangkan beban rakyat dengan segera,” katanya.

“Kerajaan akan memastikan harga petrol RON95 bagi pengguna yang tidak layak mendapat subsidi bersasar, tidak meningkat dengan margin terlalu besar.”

Sistem pemberian subsidi petrol itu ditujukan kepada pengguna kereta bawah 1,500 cc dan pengguna motosikal berkuasa 125 cc.

Kerajaan akan memberi subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter RON95 tetapi mengehadkan 100 liter sebulan bagi kereta dan 40 liter bagi motosikal. – 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen