Jangan gopoh putus status Sivarraajh, kata pembangkang


SM Amin

Speaker membenarkan Ahli Parlimen Cameron Highlands C Sivarraajh hadir sidang Dewan Rakyat hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Disember, 2018.

KEPUTUSAN yang dipertua membenarkan C Sivarraajh hadir sidang Dewan Rakyat sebagai wakil Cameron Highlands hari ini menunjukkan keputusan sebelum ini terburu-buru, kata pembangkang.

Ketua Pembangkang Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau juga sudah menyatakan minggu lalu bahawa keputusan speaker tidak membenarkan Sivarraajh hadir itu tidak wajar.

“Dalam hal ini saya telah menyebutkan bagi pihak ahli-ahli Parlimen pembangkang keputusan oleh speaker sebelum ini keputusan yang membelakangi rakyat kerana rakyat telah memilih mereka.

“Diharap ia menjadi satu panduan kepada semua jangan terlalu mengikut emosi dalam melakukan sesuatu keputusan.

“Sila rujuk kepada butiran perlembagaan yang ada di negara ini sebelum sesuatu keputusan itu dibuat,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pada Rabu lepas, Ariff mengarahkan ahli Parlimen Cameron Highlands, Sivarraajh keluar dewan susulan desakan oleh Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.

Rayer mempertikaikan tindakan Sivarraajh hadir ke sidang Dewan Rakyat kerana mahkamah memutuskan kemenangan BN di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal.

Mahkamah memutuskan demikian merana mendapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi semasa pilihan raya.

Ariff pada hari ini seterusnya memutuskan Sivarraajh masih ahli Parlimen Cameron Highlands dan dibenarkan untuk berada di Dewan Rakyat kerana berhasrat merayu keputusan tersebut di mahkamah.

“Mahkamah Pilihan Raya tidak akan mengeluarkan perakuan sekiranya rayuan difailkan dalam tempoh 14 hari.

“Dalam hal ini, memandangkan Yang Berhormat Cameron Highlands telah menyatakan hasratnya untuk mengemukakan rayuan, perakuan tidak akan dikeluarkan oleh Mahkamah Pilihan Raya dan akan dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan selepas proses rayuan selesai.

“Oleh kerana Suruhanjaya Pilihan Raya hanya akan mengisytiharkan sesuatu kerusi sebagai kosong selepas menerima perakuan daripada mahkamah, maka sehingga proses rayuan selesai Yang Berhormat Cameron Highlands masih dianggap sebagai seorang ahli Parlimen,” katanya. – 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen