Dulu ditekan BN, kini taikun nyata sokongan kepada Pakatan


Bede Hong

Beberapa usahawan terkenal kini beralih menyokong Pakatan Harapan selepas gabungan itu memenangi pilihan raya umum Mei lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Disember, 2018.

USAHAWAN Stanley Thai Kim Sim kini beralih kesetiaan selepas muncul di majlis makan malam Pakatan Harapan malam tadi, di mana beliau memenangi bidaan RM350,000 untuk gambar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Thai, yang merupakan pengasas bersama dan pengarah urusan pembuatan sarung tangan Supermax Corp Bhd, naik ke pentas dengan Dr Mahathir menerima gambar perdana menteri di  Putrajaya beberapa hari selepas angkat sumpah perdana menteri itu pada 23 Mei.

Sebulan sebelum pilihan raya 9 Mei, Thai meminta maaf kepada bekas perdana menteri Najib Razak kerana menyokong pembangkang pada pilihan raya umum 2013.

“Saya menyesal terlibat dalam PRUl3 - Saya yakin telah dipengaruhi pembangkang. Sebagai seorang ahli perniagaan, saya tidak seharusnya terlibat dalam politik dalam apa jua keadaan dan saya benar-benar menyesalinya. Kini saya benar-benar meminta maaf dari Datuk Seri Najib atas apa yang telah saya lakukan pada pilihan raya lepas,” kata Thai dalam satu kenyataan pada 14 April.

Sebelum Pilihan Raya 2013, beliau dilaporkan berkata dalam satu majlis kutipan dana, beliau akan menyertai kebanyakan orang Cina di Malaysia yang “meninggalkan sokongan terhadap Najib” dan mengundi pembangkang untuk kali pertama.

Dalam kenyataannya, Thai berkata pada Februari atau Mac 2013, beliau terlibat dalam menganjurkan Forum Ekonomi melalui Institut Rakyat yang diadakan di Grand Hyatt Kuala Lumpur, di mana Anwar Ibrahim adalah penceramah utama. Penceramah lain termasuk Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Seterusnya pada Mac, 2013, Thai berkata beliau dijemput untuk makan malam oleh Bloomberg Malaysia. “Semasa perbualan ketika saya ditanya mengapa sesetengah orang Cina tidak menyokong Barisan Nasional, memandangkan ia makan malam biasa saya berikan komen. Namun, apabila perbualan peribadi dan kasual saya dilaporkan dan diterbitkan dua minggu sebelum PRUl3, Saya mula sedar bahawa kandungan artikel berita menjadi tular dengan cepat di media sosial dan ia dieksploitasi oleh ahli politik pembangkang. “

Thai menambah beliau juga ke Bukit Tinggi di Klang untuk makan malam bersama Khalid, dan beliau menghadiri ceramah di Johor dan Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada pilihan raya 2013. Selepas pilihan raya, beliau berkata beliau turut menghadiri perhimpunan politik di Stadium Kelana Jaya, Kuala Lumpur.

“Selepas itu, dengan sangat menyesal, saya menyedari bahawa saya telah dipengaruhi oleh propaganda dan pembangkang semasa pilihan raya dan saya benar-benar menyesalinya dan menyedari ia salah untuk terlibat dalam politik sebagai seorang ahli perniagaan.”

Rafidah Aziz meletak jawatan sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutif Supermax dua hari selepas kenyataan Thai. Bekas menteri perdagangan yang berkhidmat dalam pentadbiran Dr Mahathir, kemudian berkempen untuk Pakatan Harapan.

Deepak Jaikishan yang dikaitkan dengan Rosmah Mansor turut dilihat menyokong kerajaan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Disember, 2018.

Thai pada masa ini sedang menghadapi pertuduhan perdagangan dalaman yang berkaitan dengan unit Supermax APL Industries Bhd (APLI). Pada November, 2017, beliau dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur penjara lima tahun dan denda sejumlah RM5 juta di atas kesalahan perdagangan orang dalam yang dilakukan ketika beliau menjadi CEO APLI, sebuah syarikat yang disingkirkan dari senarai Bursa Malaysia pada tahun 2009.

Hukuman itu adalah yang pertama dijatuhkan berhubung perdagangan orang dalam. Thai, yang mengasaskan Supermax dengan isterinya pada tahun 1987, dianggarkan oleh Forbes mempunyai kekayaan bernilai ASD225 juta pada tahun 2014 dan dianggap sebagai salah satu daripada 50 orang terkaya di dunia.

Sementara itu, saudagar permaidani kontroversial Deepak Jaikishan juga membuat penampilan pada majlis makan malam tersebut, memenangi tawaran RM150,000 untuk foto yang ditandatangani pengerusi konsultasi PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Deepak, bekas rakan sekutu isteri Najib, Rosmah Mansor, bulan lalu memfailkan saman RM676 juta terhadap Najib kerana konspirasi dan menggunakan kedudukannya untuk memberi pengaruh yang tidak wajar ke atas jualan 90 hektar tanah di Kapar, Selangor. Saman itu juga menamakan Rosmah sebagai defendan.

Deepak juga memfailkan saman RM52.6 juta yang difailkan terhadap Najib berhubung kesepakatan hartanah 2013 yang membabitkan 80 unit kondominium di Kuala Lumpur.

Enam gambar telah dilelongkan malam tadi. Tawaran tertinggi dibuat oleh pengarah eksekutif Platinum Victory Sdn Bhd Gan Yee Hin, yang membayar RM500,000 untuk gambar tandatangan Dr Mahathir dan beberapa pemimpin PH selepas mereka bersumpah sebagai menteri kabinet. – 10 Disember, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen