POLIS akan memanggil tiga individu yang menjadi penganjur utama perhimpunan anti-ICERD hujung minggu lalu untuk disoal siasat hari ini selepas kanak-kanak dikesan menghadiri protes tersebut, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
“Kami akan pnggil tiga orang dari pihak penganjur dan kami ingin tahu bagaimana keadaan ini boleh berlaku. Bagaimana anak-anak boleh dibawa ke perhimpunan ketika mereka berjanji perkara itu tidak akan berlaku,” kata Fuzi kepada wartawan hari ini.
“Jadi kita mahu penjelasan mereka mengenai perkara ini. Sebelum perhimpunan itu, kami polis diberitahu bahawa tidak ada pelanggaran terhadap Akta Perhimpunan Aman,” katanya.
Ketiga-tiga mereka dijangka dipanggil pada pukul 3 petang ini di Bukit Aman.
Perhimpunan membantah ICERD di Kuala Lumpur pada Sabtu lepas berakhir dengan aman, tanpa sebarang tangkapan dibuat.
Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata berdasarkan anggaran polis, 55,000 penunjuk perasaan hadir bagi perhimpunan itu, yang bermula pada pukul 2 petang.
“Perhimpunan berjalan dengan lancar, tanpa kejadian buruk atau penangkapan yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan.
“Bagaimanapun, ia dicemari oleh beberapa orang yang membawa bersama anak-anak mereka. Ini melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Kami anggarkan 55,000 orang hadir.” katanya.
Perhimpunan itu berakhir kira-kira 5 petang, ketika hujan lebat mula turun.
Membawa anak-anak ke perhimpunan aman adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4 (2) (f) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh menyebabkan pesalah membayar denda sehingga RM20,000 jika didapati bersalah. – 10 Disember, 2018.
Komen