Polis akan terus berkawal di kawasan kuil, kata KPN


Alfian Z.M. Tahir

Kuil Sri Maha Mariamman Seafield beransur tenang selepas mengalami rusuhan baru-baru ini melibatkan beberapa kumpulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2018.

KEADAAN kembali seperti biasa di kuil Sri Maha Mariamman di USJ Subang Jaya namun polis akan terus dikerahkan untuk memantau kawasan itu, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Ketua Polis Negara bagaimanapun tetap mengatakan bahawa pihak polis tidak mahu mengambil mudah berkenaan kuil itu.

“Daripada penilaian kami, keadaan sudah kembali seperti biasa, tetapi kami tidak boleh ambil mudah kerana kami masih memantau keadaan di kawasan kuil itu.”

“Terutama di One City Center, polis masih berada di kawasan itu bagi memastikan keadaan berada di bawah kawalan,” kata Fuzi pada sidang akhbar di Pasar Seni pagi ini.

Bercakap lebih lanjut, Fuzi berkata beliau akan menemui rakan-rakannya daripada kontinjen polis Selangor malam ini untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai kes itu.

Fuzi menjelaskan bahawa pihak polis mungkin akan mengurangkan jumlah pegawai polis di kawasan itu bagi mengelakkan pembaziran tenaga manusia.

“Saya akan menemui polis Selangor malam ini dan kami akan membincangkan mengenai isu ini, kami sedang meninjau operasi kami, dan mengurangkan jumlah pegawai (yang berkawal) di sana.”

“Kami tidak boleh menyeret (kes) terlalu lama, kosnya mahal dan membazirkan sumber manusia,” katanya ketika ditanya.

Fuzi juga berkata bahawa jumlah penangkapan belum bertambah dan ia masih kekal dengan 106 penahanan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa isu di kuil itu semakin tegang apabila sekumpulan 50 lelaki menyerbu kuil dan mengarahkan para penganut dan pengunjung meninggalkan tempat itu kerana ia adalah milik One City Development Sdn Bhd.

Ini menyebabkan beribu-ribu penganut yang datang dari seluruh negara mula berhimpun di kuil itu bagi menyatakan sokongan. – 10 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen