Macron jumpa kesatuan, tangani krisis ‘ves kuning’


Penunjuk perasaan dengan jaket keselamatan warna kuning berlari dari asap pemedih mata ketika berlaku rusuhan di Paris. – Gambar EPA, 10 Disember, 2018.

PRESIDEN Emmanuel Macron akan menangani krisis “ves kuning” dan mengadakan pertemuan dengan persatuan pedagang dan pemimpin perniagaan dalam mencari cara mengakhiri bantahan yang menggegarkan Perancis itu.

Presiden akan berucap kepada rakyat pada 8 malam ini waktu tempatan, menurut pejabatnya – ia komen pertamanya secara terbuka selepas empat minggu demonstrasi anti kerajaan berlangsung di seluruh negara itu yang sekali lagi menjadi ganas di Paris dan beberapa kota lain pada Sabtu.

Pihak kerajaan berkata presiden akan mengumumkan langkah kukuh dan serta-merta sebagai respons kepada keluhan penunjuk perasaan.

Desakan pelbagai pihak daripada spektrum politik supaya tindakan drastik diambil, dengan pihak pembangkang menggesa Macron “mengiktiraf kesengsaraan masyarakat dan respons dengan segera”.

Menteri Kewangan Bruno Le Maire berkata kekecohan pada beberapa minggu terkini ini “bencana ekonomi” untuk Perancis, menyebabkan jalan-jalan sesak dan menyusahkan orang ramai yang membeli-belah serta pelancong menjelang sambutan Krismas.

Penunjuk perasaan “ves kuning” memakai jaket keselamatan berwarna terang itu mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara sejak 17 November sebagai bantahan terhadap kenaikan cukai dan harga petrol.

Demonstrasi mereka menjadi momentum kepada gerakan besar-besaran membantah Macron, yang juga bekas ahli perbankan, sebagai tidak faham kehidupan rakyat biasa di Perancis.

Keganasan dan rusuhan berulang kali berlaku di Paris, merebak ke Bordeaux, Toulouse dan bandar-bandar lain.

Pihak berkuasa kemusnahan hartanah di ibu kota itu pada Sabtu lalu lebih teruk berbanding minggu sebelumnya, dengan kereta dibakar dan tingkap dipecahkan di beberapa kawasan perumahan.

Kira-kira 10,000 penunjuk perasaan turun ke jalanan di Paris, dengan 8,000 polis digerakkan berkawal. – AFP, 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen