JABATAN pertukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mempunyai sistem semak dan imbang, kata bekas pegawainya yang menjadi saksi kedua Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kerugian dikendalikan institusi itu dua dekad yang lalu.
Bekas juruaudit Ahmad Hizzad Baharuddin hari ini memberi keterangan yang BNM tidak mempunyai sistem semak dan imbang manakala “pengawasan ke atas jabatan pertukaran mata wang asing didapati longgar.”
Ketika ditanya oleh ahli panel suruhanjaya Saw Choo Boon bagaimana mungkin terdapatnya “kelemahan peraturan” dan “pengabaian pihak berkuasa”, dan mengapa jumlah dagangan dijalankan mencecah ratusan bilion, Hizzad berkata BNM tidak mempunyai “sistem komputer yang mantap” bagi menyimpan semua transaksi pada masa itu. Sebaliknya, ia dilakukan secara manual.
Sesi pendengaran suruhanjaya di Istana Kehakiman awal hari ini turut menyaksikan bekas pegawai BNM, Abdul Aziz Abdul Manaf memberitahu yang bank pusat kerugian RM31.516 bilion sejak 1988 hingga 1994, tetapi butirannya tidak jelas.
Suruhanjaya yang diketuai Pengerusi Petronas, Mohd Sidek Hassan, ditubuhkan untuk mengenalpasti kebenaran tuduhan kerugian akibat spekulasi pertukaran mata wang asing, sama ada aktiviti BNM dalam urus niaga itu melanggar Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang lain, dan sama ada terdapat percubaan untuk melindunginya.
Panel itu juga akan mencadangkan tindakan terhadap pihak yang didapati secara langsung dan tidak langsung terlibat dalam skandal, dan langkah untuk memastikan insiden tersebut tidak berulang.
Sementara itu, Tan Hock Chuan, peguam pemerhati bagi BNM, menentang tindakan membenarkan kenyataan dibuat oleh bekas kakitangan institusi kewangan itu.
Beliau berkata kerugian audit dan perakaunan yang dikatakan Hizzad dan Aziz berdasarkan maklumat yang masih dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Beliau berkata kedua-dua saksi itu tidak diberikan imuniti daripada OSA.
Mengikut Seksyen 8 Akta Suruhanjaya Siasatan, beliau berkata keterangan itu tidak boleh diterima.
Bagaimanapun, Sidek menolak permintaan Tan.
“Ini adalah inkuiri, bukan perbicaraan. Kami ditugaskan Agong untuk melakukan ini. Saya akan meneruskan siasatan ini tanpa bertangguh.
“Sekiranya anda mendakwa semuanya (dikelaskan di bawah) OSA, maka mengapa perlukan siasatan ini? Saya tidak akan membenarkan sebarang perbahasan, kita akan meneruskannya,” kata Sidek, yang juga bekas ketua setiausaha kerajaan.
Siasatan akan diteruskan pada 24, 29 dan 30 Ogos; dan 6, 7, 18, 19 dan 20 September.
Laporan mengenai hasil siasatan akan dikemukakan kepada Agong pada Oktober. – 21 Ogos, 2017.
Komen