'Saya tak boleh bernafas' kata Khashoggi sebelum ajalnya 


Jamal Khashoggi yang dipercayai dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul memeranjatkan rantau itu kerana Putera Mahkota Muhammad bin Salman dikatakan terlibat. – Gambar AFP, 10 Disember, 2018.

KATA-kata terakhir Jamal Khashoggi sebelum meninggal dunia adalah “Saya tidak boleh bernafas,” kata CNN pada hari Ahad.

Agensi berita itu memetik sumber yang telah membaca transkrip pita audio pada saat-saat akhir wartawan itu dibunuh.

Sumber itu memberitahu rangkaian Amerika Syarikat bahawa transkrip itu jelas menunjukkan pembunuhan itu dirancang, dan menjelaskan bahawa beberapa panggilan telefon dilakukan bagi memaklumkan mengenai pembunuhan tersebut.

CNN berkata pihak berkuasa Turki percaya panggilan telefon itu dibuat dengan pihak berkuasa tertinggi di Riyadh.

Khashoggi, seorang warga Saudi adalah penyumbang kepada akhbar The Washington Post. Beliau terbunuh selepas memasuki konsulat kerajaan Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Transkrip rakaman yang mengerikan itu termasuk penerangan tentang Khashoggi yang bergelut dengan pembunuhnya, kata CNN, dan beberapa bunyi yang menunjukkan tubuh badan wartawan itu sedang “dipotong dengan gergaji.”

Transkrip asal disediakan oleh perkhidmatan perisikan Turki, dan CNN mengatakan sumbernya membaca versi yang telah diterjemahkan dan diberi taklimat mengenai siasatan terhadap kematian wartawan itu.

Sementara itu, Menteri Luar Arab Saudi pada hari Ahad menolak untuk mengekstradisi suspek berhubung pembunuhan Khashoggi selepas digesa Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Erdogan sebelum ini berkali-kali menggesa Arab Saudi untuk menyerahkan suspek pembunuhan itu. Menurut Turki, 15 anggota pasukan Saudi dihantar ke Istanbul untuk membunuh Khashoggi.
 – AFP, 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen