Bank Negara rugi RM31 bilion, kata bekas pegawainya


Bede Hong

Bekas pegawai Bank Negara memaklumkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja skandal urus niaga mata wang asing yang tiada butiran jelas bagaimana kerugian sebanyak RM31 bilion dijumlahkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2017.

BANK Negara Malaysia rugi sekurang-kurangnya RM31 bilion daripada urus niaga mata wang asing yang dibuat antara 1991 hingga 1994, kata bekas pegawai bank pusat itu kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini.

Abdul Aziz Abdul Manaf bagaimanapun memberitahu suruhanjaya itu tiada butiran yang jelas bagaimana kerugian tersebut dijumlahkan.

Pegawai pengendali RCI Suhaimi Ibrahim bagaimanapun enggan berkongsi dengan media kenyataan yang dibacakan oleh Abdul Aziz kepada suruhanjaya itu selama lebih 30 minit.

Ditanya oleh panel suruhanjaya, Aziz, bekas pengurus akaun di BNM berkata beliau hanya “menyediakan akaun” dan tidak dapat memberikan butiran lanjut bagaimana kerugian itu berlaku.

“Tetapi sudah tentu ia ditunjukkan dalam penyata kira-kira,” kata pengerusi suruhanjaya, Mohd Sidek Hassan.

“Saya tidak nampak… kerana sekiranya anda semak penyata kira-kira, itu tidak kelihatan.”

Anggota panel suruhanjaya Tajuddin Attan juga meminta Aziz menjelakan mengapa rizab BNM kelihatan tidak terjejas dengan kerugian itu pada tahun-tahun berikutnya.

Kerugian BNM pada 1992, 1993 dan 1994 masing-masing dicatatkan sebanyak RM8.496 bilion, RM17.522 bilion dan RM2.686 bilion.

“Memandangkan terdapat kerugian dan tiba-tiba terdapat peningkatan dalam rizab, apakah ada kemungkinan penjelasan mengenainya?” Soal Tajuddin.

Kerugian tukaran mata wang asing sebelum ini dianggarkan berjumlah AS$10 bilion (RM25 bilion) oleh bekas penolong pengarah BNM Abdul Murad Khalid dalam temu bual dengan New Straits Times pada Jun.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pula berkata beliau diberitahu kerugian adalah sebanyak RM10 bilion.

Beliau bagaimanapun menafikan mengetahui berkenaan urus niaga BNM walaupun ia berlaku semasa pentadbirannya dan menegaskan hanya tahu berdasarkan apa yang dilaporkan di Parlimen.

Suruhanjaya ditubuhkan selepas pasukan petugas khas menyiasat skandal menyatakan bank pusat itu menanggung kerugian lebih besar berbanding jumlah diisytiharkannya.

Sidek, pengerusi pasukan khas itu kemudiannya dilantik menganggotai suruhanjaya dan mencadangkan ia ditubuhkan kerana pasukan terdahulu tidak dapat menyelidiki lebih mendalam kerana wujudnya beberapa “limitasi”.

Suruhanjaya juga akan menyiasat sama ada terdapat percubaan melindunginya, dan apakah aktiviti perdagangan mata wang asing BNM melanggar Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain.

Ia ditugaskan untuk mengesyorkan tindakan yang sesuai terhadap pihak yang didapati secara langsung dan tidak langsung terlibat dalam skandal, dan langkah menghalang perkara sama daripada berulang lagi.

Suruhanjaya ini berdepan kontroversi dengan ahli politik pembangkang mendakwa ia menjadi alat bagi Putrajaya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada skandal terkini keraja sedia ada seperti 1Malaysia Development Bhd.

Penubuhannya juga hampir sama dengan pelantikan mantan perdana menteri Dr Mahathir sebagai pengerusi pakatan pembangkang Pakatan Harapan. – 21 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen