SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (Suhakam) kecewa kerana Putrajaya langsung tidak cuba menjelaskan mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Kegagalan untuk menjelaskannya menyebabkan kerajaan terpaksa mengubah keputusan untuk tidak meratifikasi konvensyen tersebut, kata Ketua Pesuruhjaya Suhakam Razali Ismail.
Razali berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya bertindak dengan lebih baik untuk menjelaskan konvensyen itu kepada orang awam untuk meredakan kebimbangan bahawa ia akan menghakis kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam.
“Kerajaan langsung tidak cuba (menjelaskan). Sepatutnya mereka jelaskan. Mereka fikir mereka boleh beritahu rakyat begitu saja,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sependapat dengannya, Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata kerajaan sepatutnya mengadakan lebih banyak usaha untuk memberi maklumat yang betul mengenai ICERD kepada orang awam.
“Lebih banyak usaha sepatutnya dibuat pada masa yang betul kerana, perlu diingat, perkara ini meledak dengan tiba-tiba dan menjadi topik hangat dalam masa singkat.
“Biarkan emosi dan perasaan ini reda dulu sedikit, kemudian kita boleh bercakap dengan rasional. Komunikasi akan lebih baik,” katanya.
Razali dan Mah ditemui semasa sambutan Hari Hak Asasi Suhakam 2018 di Petaling Jaya semalam.

Protes ke atas ICERD itu diadakan dengan alasan bahawa ratifikasi konvensyen itu akan menjadikan kedudukan orang Melayu dan agama Islam setaraf dengan kaum dan agama lain.
Sekali gus, ia didakwa akan membatalkan hak majoriti kumpulan kaum tersebut, raja-raja Melayu serta agama Islam. – 10 Disember, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen