Jangan anggap demo anti-ICERD gimik politik, kata pemimpin Pakatan


Sheridan Mahavera

Pakatan Harapan tidak boleh melihat himpunan anti-ICERD pada Sabtu lalu sebagai gimik politik semata-mata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2018.

KEBIMBANGAN dan ketakutan yang mendorong kepada perhimpunan anti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu adalah satu kebenaran dan tidak boleh dianggap gimik politik, kata ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Oleh itu kerajaan perlu memberi tumpuan khas kepada kebajikan dan kebimbangan ekonomi di kalangan masyarakat luar bandar dan kelas pekerja, kata pemimpin parti ini.

Jelas mereka, ia bagi mengelakkan kebimbangan itu dieksploitasi oleh golongan yang rasis dan sekutu politiknya.

Mereka mengakui bahawa perhimpunan itu satu simbol kejayaan kepada komitmen kerajaan yang berusia tujuh bulan pada demokrasi.

Namun pada masa sama memberi amaran bahawa kerajaan perlu berhati-hati apabila menangani dasar yang dianggap sensitif kepada komuniti dan kepercayaan tertentu.

“Ia merupakan satu lagi peringatan kepada menteri, anda bukan lagi dalam pembangkang,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad kepada The Malaysian Insight.

“Jadi anda tidak boleh keluarkan naratif berbeza ke atas satu dasar,” katanya yang menambah, pemimpin kerajaan juga tidak boleh bertindak sendirian.

Ahli jawatankuasa pusat PKR itu mengulas mengenai kegagalan kerajaan menangani isu ratifikasi ICERD.

Kegagalan kerajaan menjelaskan keputusan untuk menandatangani ICERD didakwa menjadi punca kepada perhimpunan pada Sabtu oleh NGO Melayu.

Senator PH Yusmadi Yusoff pula berkata perhimpunan berkenaan perlu menjadi peringatan kepada setiap pemimpin parti, ahli dan aktivis yang pernah bersyarah mengenai keadilan, kesamarataan dan hak asasi.

Ini memandangkan, retorik dalam perhimpunan itu dilihat menentang idea tersebut, yang merupakan tonggak kepada ideologi PH dan juga pergerakan reformasi, kata Yusmadi.

“Seolah-olah kita gagal menyakinkan rakyat untuk menerima dan memahami idea ini walaupun kita bercakap dan mempromosi sejak berdekad lalu. Jadi kita perlu melihat semula setakat mana efektif pendekatan kita,” katanya.

Kebimbangan ekonomi

Penganjur di perhimpunan itu mendakwa demonstrasi tersebut adalah untuk membantah rancangan kerajaan untuk meratifikasi ICERD.

Perhimpunan itu diteruskan walau kerajaan membatalkan rancangan itu. Oleh itu pemerhati merumuskan bahawa perhimpunan berkenaan sebenarnya diadakan untuk menggembleng gerakan massa untuk menolak PH dalam pilihan raya umum akan datang.

Kebanyakan daripada ucapan semasa perhimpunan itu membangkitkan senario ancaman bahawa orang Melayu Islam akan kehilangan hak istimewa dalam perlembagaan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hassan turut serta pada himpunan anti ICERD di Dataran Merdeka, Sabtu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2018.

Namun dalam naratif sama, peserta perhimpunan juga membangkitkan kebimbangan kerajaan mengabaikan kebajikan golongan Melayu luar bandar yang berpendapatan rendah.

Mereka turut menyatakan rasa marah kerana kerajaan memotong subsidi kepada petani, nelayan dan penoreh getah.

Ramai juga yang menuding jari pada kegagalan kerajaan menunaikan janji untuk tidak mengutip bayaran balik PTPTN selagi pendapatan peminjam tidak mencapai RM4,000.

“Setiap kali ada masalah ekonomi, masalah ini dapat dijadikan isu kaum,” kata Nik Nazmi.

Yusmadi pula yang membesar di kawasan luar bandar Balik Pulau berkata, kebimbangan ekonomi orang Melayu Islam di kampung mudah dibuai menjadi isu kaum.

“Sebagai contoh, rumah orang kampung yang miskin dirobohkan untuk membina apartmen tinggi,” kata Yusmadi.

Katanya, kebanyakan hartanah baharu itu akan berpindah tangan kepada golongan kaya daripada kumpulan etnik lain.

“Apa yang berlaku secara alaminya bukan perkauman, tetapi ia boleh dijadikan isu kaum,” katanya.

Kebimbangan bahawa orang Melayu akan dipinggirkan di negeri sendiri itu diulang-ulang oleh penganjur semasa perhimpunan.

Pemimpin Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’Anam berkata kerajaan sepatutnya menjelaskan isu kontroversi terutama melibatkan kaum dan agama dengan lebih baik.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu berkata kerajaan sepatutnya berunding dengan pihak berkepentingan di belakang tabir sebelum dasar tersebut diumumkan.

Kejayaan demokrasi

Namun semua pemimpin PH yang diwawancara berkata penganjuran perhimpunan berkenaan merupakan bukti bahawa kerajaan berpegang kepada janji untuk mempertahankan hak berhimpun dan menyuarakan pendapat.

Kerajaan membenarkan perhimpunan yang mencabar PH secara politik, tidak seperti amalan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, kata Faiz. – 10 Disember, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen