Skandal serangan seksual, Afghanistan gantung ketua persatuan bola sepak


Skandal itu didedahkan media Britain yang melaporkan siri serangan seksual dan fizikal berlaku di ibu pejabat persatuan bola sepak dan kem latihan pasukan Afghanistan. – Gambar AFP, 9 Disember, 2018.

AFGHANISTAN menggantung lima pegawai termasuk presiden persekutuan bola sepak negara itu kerana disyaki melakukan penderaan seksual dan fizikal terhadap pasukan bola sepak wanita negara itu, kata pegawai hari ini.

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas Presiden Ashraf Ghani mengarahkan peguam negara menjalankan “siasatan mendalam” terhadap apa yang disifatkannya sebagai tuduhan “mengejutkan” penderaan dilakukan pegawai lelaki terhadap pemain bola sepak wanita- dakwaan yang pertama kali dibongkar oleh akhbar Britain, Guardian.

“Pejabat Peguam Negara sudah menggantung…presiden persekutuan bola sepak, timbalannya, setiausaha agung, ketua penjaga gol dan ketua penyelaras daerah,” kata jurucakap Pejabat Peguam Negara Jamshid Rasuli kepada AFP.

“Bagi menjalankan siasatan mendalam, mengutip bukti dan memastikan keadilan, pasukan pendakwa raya memutuskan penggantungan kesemua mereka,” katanya, menambah yang semua pegawai yang digantung adalah lelaki.

Akhbar Guardian dalam laporannya memetik sumber seorang pegawai kanan persatuan dalam pasukan wanita berkata penderaan itu berlaku di Afghanistan, termasuklah di Ibu Pejabat Persekutuan Bola Sepak Afghanistan (AFF) dan kem latihan di Jordan pada Februari lepas.

Berita itu memetik kenyataan bekas kapten pasukan bola sepak wanita Khalida Popal- yang melarikan diri dari negara tersebut selepas menerima ugutan bunuh dan lantang bersuara mengenai diskriminasi dihadapi wanita di Afghanistan- sebagai berkata yang pegawai lelaki “memaksa” pemain wanita.

Popal mengalu-alukan berita penggantungan tersebut menerusi Twitternya, menulis: “Jika kita semua berdiri bersama-sama dan berusara dan menjadi #Voice4voiceless tiada siapa yang berani mencederakan mereka yang yidak bersalah. #Football bukan penderaan.”

Safi Sadab, jurucakap AFF, memberitahu AFP yang persekutuan itu bersedia “bekerjasama dengan siasatan”.

Badan penyelia bola sepak dunia, Fifa, juga berkata mereka akan menyiasat dakwaan tersebut dan syarikat pakaian Denmark, Hummel sudah membatalkan penajaan dengan pasukan Afghanistan kerana skandal tersebut.

Afghanistan menjadi tajuk berita apabila berusaha mempromosi bola sepak wanita empat tahun lepas apabila melancarkan liga bola sepak untuk wanita yang berjalan selari dengan liga bola sepak lelaki.

Tetapi pada 2017, pasukan bola sepak wanita negara itu dibubarkan kerana tidak ada peruntukan. – AFP, 9 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen