LEBIH daripada 1,700 orang ditahan di seluruh Perancis pada protes “ves kuning” terbaru yang menyaksikan perusuh bertembung dengan polis anti rusuhan menyebabkan kerosakan teruk di Paris lebih seminggu lalu, kata pegawai hari ini.
Pertempuran tercetus di ibu kota Perancis dan beberapa bandar lain termasuklah di Marseille, Bordeaux, Lyon dan Toulouse pada hujung minggu keempat protes seluruh negara berlaku membantah peningkatan kos sara hidup dan Presiden Emmanuel Macron.
Presiden yang dikecam hebat itu- yang namanya bergema di seluruh Champs-Elysees ketika penunjuk perasaan melaungkan “Macron, berundur”- dijangka memberi ucapan menyentuh demonstrasi itu beberapa hari lagi.
1,220 daripada 1,723 yang ditahan diarahkan terus ditahan, kata kementerian.
Polis di Paris berkata mereka membuat 1,082 tangkapan semalam, meningkat jauh berbanding 412 sebelum ini.
Kementerian Dalam Negeri berkata hampir 136,000 mengambil bahagian dalam protes seluruh Perancis semalam, hampir sama dengan jumlah terlibat pada 1 Disember lalu.
Tetapi, Paris menyaksikan kerosakan teruk disebabkan keganasan perusuh.
Penunjuk perasaan di bandar itu membakar kenderaan, penghadang dan memecahkan tingkap ketika kenderaan perisai pasukan keselamatan mengawasi jalan raya.
Pihak berkuasa berkata kumpulan “ves kuning” menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding protes 1 Disember lalu.
“Kawasan terkesan dengan kejadian lebih luas…dengan penghadang yang sedikit, lebih banyak lencongan berlaku, jadi lebih banyak kawasan terkesan dengan keganasan itu,” kata Timbalan Datuk Bandar Paris Emmanuel Gregoire kepada radio France Inter. – AFP, 9 Disember, 2018.
Komen